Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim serta EXCO Sukan Najwan Halimi menyambut ketibaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Juara dunia e-sukan Selangor Red Giants diberi sambutan wira di KLIA

SEPANG, 17 JULAI: Selangor Red Giants (SRG) menerima sambutan wira sebaik tiba di tanah air sebentar tadi, susulan kejayaan menjuarai aksi antarabangsa e-sukan di Riyadh, Ahad lalu.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tepat jam 9 pagi tadi, pemain SRG diraikan dengan sorakan lebih 100 peminat yang setia menanti sejak awal pagi.

Mereka juga sempat bersalaman, berswafoto dan memberi autograf kepada orang ramai dan kelab penyokong dikenali sebagai ‘La Familia’ SRG, yang teruja menyambut kemenangan mereka.

EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi bergambar bersama pemain pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Juara dunia dalam kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 turut meluangkan masa beberapa minat untuk sesi sidang media khas sebelum beredar meninggalkan KLIA.

Turut hadir menyambut ketibaan pasukan itu ialah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli, EXCO Sukan Najwan Halimi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Dalam pada itu, EXCO Sukan Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri akan menimbang untuk memberi insentif kepada pemain SRG susulan kejayaan membanggakan di Amazon Arena Riyadh, Arab Saudi.

“Untuk pemberian insentif, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan bincang mengikut kesesuaian dan keperluan.

“Ganjaran yang diterima pemain hasil kemenangan amat besar tetapi Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan ekosistem e-sukan melalui anak-anak syarikat Selangor,” jelasnya.

Penyokong menunggu ketibaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

 


Pengarang :