Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Jumlah korban di Palestin meningkat kepada 38,443 orang, lebih 88,000 cedera

GAZA, 14 JULAI: Pasukan tentera Israel melakukan empat pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga di Semenanjung Gaza mengakibatkan sekurang-kurangnya 61 rakyat Palestin terbunuh dan 129 lagi cedera, menurut sumber perubatan.

Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) semalam, pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober 2023 meningkat kepada 38,443 orang, dengan 88,481 individu mengalami kecederaan.

Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Dilaporkan bahawa sekitar 10.30 pagi (waktu tempatan), jet pejuang Israel melancarkan beberapa serangan udara besar-besaran yang menyasarkan kawasan berpenduduk padat Al-Mawasi, yang merupakan tempat berlindung penduduk yang terpaksa berpindah dari seluruh Semenanjung Gaza.

Jumlah korban pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di kawasan Al-Mawasi meningkat dengan mendadak, dengan lebih daripada 71 orang disahkan terbunuh dan lebih 289 cedera, termasuk ramai dalam keadaan kritikal.

Pasukan ambulans dan penyelamat masih tidak dapat membantu banyak mangsa dan mengeluarkan mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau berselerak di jalan raya di seluruh kawasan konflik, kerana tentera Israel terus menghalang pergerakan pasukan ambulans dan pertahanan awam.

– BERNAMA-WAFA


Pengarang :