Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir (dua kiri) dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan (dua kanan) menunjukkan dokumen perjanjian kerjasama penyelidikan di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 12 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM, UUM meterai kerjasama penyelidikan, galak terbitan jurnal akademik

SHAH ALAM, 12 JULAI : KDEB Waste Management (KDEBWM) menandatangani perjanjian kerjasama penyelidikan dengan Fakulti Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Hotel Mardhiyyah, di sini hari ini.

Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata kerjasama itu bertujuan meningkatkan kesedaran warga kerja berhubung Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir berucap sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama penyelidikan diantara KDEB Waste Management dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 12 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“KDEBWM menyediakan peruntukan kewangan sejumlah RM10,000 kepada pihak Fakulti Pendidikan UUM sebagai geran penyelidikan dan mereka akan meninjau tahap kesedaran TVET dalam kalangan hampir 700 kakitangan kita.

“KDEBWM akan memberi sokongan penuh seperti pengumpulan data, temu bual, lawatan tapak sepanjang projek penyelidikan ini berlangsung selama setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menandatangani perjanjian kerjasama penyelidikan bersama UUM yang diwakili Naib Canselornya Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan di sini.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Professor Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan berucap sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama penyelidikan diantara KDEB Waste Management dan UUM di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 12 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ramli berkata pihaknya berharap hasil penyelidikan diterbitkan dalam jurnal akademik sebagai rujukan kepada pelajar, penyelidik, pensyarah dan masyarakat.

“Sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri, KDEBWM komited menjalankan tanggungjawab sosial korporat dengan lebih efektif melalui pelbagai inisiatif termasuk kerjasama penyelidikan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Foad berkata pihaknya menyambut baik kerjasama bersama KDEBWM dan komited menjayakan kajian TVET.

“Penyelidikan ini merupakan pendekatan optimum dalam mengenal pasti kesedaran individu mengenai TVET. Insya-Allah, kerjasama ini amat penting untuk UUM sekali gus membantu meningkatkan kemahiran TVET dalam warga kerja KDEBWM,” katanya.


Pengarang :