Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan pertimbang cadangan perluas jenis pengangkutan barangan layak terima subsidi diesel

SHAH ALAM, 10 JUL: Kerajaan pertimbang cadangan memperluas jenis pengangkutan barangan dalam senarai layak menerima subsidi diesel, kata menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

Menjelaskan 33 jenis pengangkutan darat dan barangan menerima subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat ini, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya terbuka menerima sebarang syor berhubung perkara itu.

Katanya syor memasukkan lori pengangkut ‘roll on roll off’ (RORO) di kawasan petani dan pekebun kecil kelapa sawit antara yang diperhalusi.

“Kita telah kemuka kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya mereka buat libat urus dengan pemegang taruh masing-masing.

“Sekiranya terkait secara langsung dengan rantaian bekalan barangan atau perkhidmatan keperluan harian penting pengguna secara umumnya, insya-Allah kerajaan akan mempertimbang untuk mengemukakan pelan mitigasi dan intervensi.

“Sebagaimana dimaklumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selain BUDI Madani, kita ada jawatankuasa rayuan (berkaitan penyasaran subsidi diesel),” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Larut Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang ingin tahu mengenai mekanisme SKDS di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut katanya setakat ini 10 jenis pengangkutan dalam sektor pengangkutan awam menerima subsidi diesel seperti bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, teksi, van jenazah, ambulans dan bomba.

Selain itu 23 jenis pengangkutan sektor pengangkutan barangan termasuklah penggerak utama (prime mover), pelbagai lori rigid kargo am, hasil pertanian, air, tepung, kandang haiwan, perkhidmatan bergerak dan sampah, bas atau van perkhidmatan bergerak serta lori, bas, van katering makanan.

Sebelum ini Armizan berkata pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel untuk memastikan peruntukan subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasar sekali gus menangani isu ketirisan bahan api itu.


Pengarang :