Nurain Hasnorizal, 25, (tiga, kiri) ibu kepada kanak-kanak lelaki Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, yang meninggal dunia pada 10 Julai 2024 keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang selepas melihat jenazah anaknya. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Keropok beracun: Lelaki direman enam hari bantu siasatan

KULIM, 11 JULAI: Seorang lelaki direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes dua kanak-kanak termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini, Ahad lalu.

Perintah reman dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kulim Mirza Mohamad bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Terdahulu lelaki yang berpakaian lokap itu dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Kulim pada 8 pagi.

Media sebelum ini melaporkan dua kanak-kanak, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas termakan keropok disyaki mengandungi racun di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini Ahad lalu.

Muhammad Akil Syauqi, 3, disahkan meninggal dunia pada 10 Julai 2024 ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. Foto Facebook BERNAMA

Kedua-dua kanak-kanak itu dipercayai mengambil paket keropok yang digantung di dawai besi pagar kebun oleh pemilik kebun bagi memerangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu kanak-kanak berkenaan pada pukul 11 pagi selepas melihat kedua-dua anaknya muntah, dan mereka kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Malau sebelum dihantar ke Hospital Kulim seterusnya Hospital Pulau Pinang (HPP).

Muhammad Akil Syauqi bagaimanapun meninggal dunia 8.40 pagi semalam manakala adiknya masih dirawat di HPP dan dilaporkan masih belum sedar.

– BERNAMA

 


Pengarang :