Jenazah Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Pekan pada 18 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kes bunuh Nur Farah: Pekerja kebun ubi selesai diambil keterangan

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Polis selesai mengambil keterangan beberapa pekerja kebun ubi di Slim River, Perak semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, yang mayatnya ditemukan di Hulu Selangor Isnin lalu.

Menurut sumber, soal siasat polis mendapati suspek pergi ke kebun itu serta beberapa lokasi lain sebelum kejadian, dan petang semalam polis ke kebun ubi di Kampung Klan Halt itu bagi tujuan siasatan.

“Polis pergi ke kebun berkenaan bersama suspek semalam dan mengambil keterangan beberapa pekerja kebun warga tempatan dan asing bagi membantu siasatan,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang 10 Julai lalu sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira 6 petang 15 Julai lalu.

Susulan itu, lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak ditahan dan direman hingga esok untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :