Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyerahkan plak pengiktirafan premis bersih dan selamat (BeSS) kepada premis cemerlang ketika mengadakan lawatan di bandar Kubota, Tawau pada 7 Julai 2024. Foto Facebook Dr Dzulkefly Ahmad
AGENDANASIONAL

KKM iktiraf 11,783 premis makanan di seluruh negara bersih, selamat

TAWAU, 7 JULAI: Sebanyak 11,783 outlet makanan di negara ini menerima pengiktirafan premis bersih serta selamat (BeSS) dan tiga lagi premis di kawasan Kubota di sini dianugerahkan pengiktirafan sama pada program tinjauan mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

BeSS merupakan pengiktirafan yang diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada premis yang telah diperiksa dan didapati bersih serta memenuhi pelbagai kriteria tertentu.

Dalam hantaran di laman Facebook hari ini, KKM berkata Program BeBAs melibatkan kerjasama di antara pengusaha premis makan dengan pelbagai agensi kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO).

Program ini menitikberatkan konsep pemerkasaan masyarakat dalam memastikan peraturan kebersihan makanan dan larangan merokok di premis makanan sentiasa dipatuhi.

“Persekitaran yang bebas tanpa amalan merokok amat penting dalam mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat dan ia selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas tanpa sebarang bentuk amalan merokok pada 2040,” menurut hantaran itu hari ini.

Sementara itu Dr Dzulkefly dalam hantaran di laman Facebook berkata Tawau merupakan lokasi ketiga pelaksanaan program BeBAs, dan sebelum ini ia diadakan di Persiaran Waterfront Port Dickson serta Jalan Alor, Bukit Bintang masing-masing pada Jun dan Februari.

“Program ini bertujuan menerapkan pemahaman yang jitu dan pematuhan masyarakat, terutama pengusaha premis makanan dan penjaja, terhadap kepentingan kebersihan premis makanan dan larangan merokok.

“Saya juga telah menyampaikan plak pengiktirafan BeSS kepada premis cemerlang. Tahniah kepada semua penerima atas pencapaian anda,” katanya dalam hantaran itu.

Dr Zulkefly berkata kejayaan negara dalam memerangi bahana amalan merokok bergantung kepada keterlibatan semua pihak dan individu.

“Tanpa sokongan dan kerjasama anda semua, usaha ini tidak mungkin berjaya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :