Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali (tiga, kanan) meninjau barangan keperluan asas harian yang dijual pada Jualan Rahmah sempena Program Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024 Peringkat Zon Timur di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 14 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDN jumpa lima syarikat minyak bincang pengeluaran kad fleet lebih cepat

IPOH, 14 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertemu dengan lima syarikat minyak Khamis ini bagi mengenal pasti mekanisme pengeluaran kad fleet (fleet card) dengan kadar lebih cepat kepada pemohon subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya mengambil perhatian terhadap kelewatan permohonan ‘fleet card’ syarikat terutama kategori pascabayar kerana status kewangan pemohon perlu diperiksa terlebih dahulu.

“Oleh kerana perlunya pemeriksaan terhadap akaun kewangan dan sebagainya, ada permohonan mengambil masa hingga sebulan maka kita mahu lihat jika ada cara supaya kadar lebih cepat kad ini boleh dikeluarkan iaitu kurang 14 hari,” katanya ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata menurut rekod terkini lima syarikat minyak pada 8 Julai lalu, 165,897 ‘fleet card’ telah dikeluarkan.

Armizan juga berkata syarikat yang tersenarai di bawah 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan boleh memohon menyertai SKDS melalui Sistem MySubsidi Diesel di bawah kawal selia KPDN dan permohonan lengkap mungkin diluluskan serta-merta.

Beliau berkata setakat hari ini, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang telah diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah 248,887 membabitkan 88,029 syarikat.

Armizan berkata KPDN turut melaksanakan program turun padang untuk mempromosi dan menyediakan ruang kepada syarikat untuk mengemukakan sebarang pertanyaan sekali gus membuat permohonan.

“Program berbentuk outreach ini dilaksanakan melalui Program Hari Terbuka di reruai SKDS pada acara anjuran kerajaan seperti Program Jelajah KPDN dan Program Madani Rakyat.

“Syarikat yang telah mendapat kelulusan SKDS boleh terus memohon ‘fleet card’ daripada lima syarikat minyak yang diintegrasikan di dalam Sistem MySubsidi Diesel,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :