Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah Muhammad Nizam Jamaludin (dua, kanan) menunjukkan minyak diesel bersubsidi disita dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Simpang Empat, Alor Setar pada 29 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

KPDN patah cubaan seleweng lebih 6,000 liter diesel, petrol di Bukit Kayu Hitam

ALOR SETAR, 8 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mematahkan cubaan menyeleweng 6,130 liter minyak diesel dan petrol dalam satu serbuan di sebuah premis pemborong minyak berlesen di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, semalam.

Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota KPDN Kubang Pasu pada 8.30 pagi itu hasil daripada risikan selama dua minggu.

“Semasa serbuan, seorang pekerja premis warga tempatan berusia 37 tahun sedang mengisi minyak diesel dan petrol ke dalam tangki dua treler dengan nombor pendaftaran asing. Kita dapati kedua-dua treler itu telah diubah suai dan dipasang tangki tambahan.

“Kita menemukan 2,148 liter minyak diesel dan 3,982 liter minyak petrol di dalam tangki tambahan berkenaan. Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM230,300,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pekerja premis itu serta dua lelaki warga Thailand berusia 36 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122). KPDN Kedah memberi amaran keras kepada semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan dan subsidi agar sentiasa mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan kepada KPDN melalui Talian Aduan Khas Op Kesan 2.0 di 012-6654292, portal e-aduan http://e-aduan.kpdn.gov.my atau hadir ke mana-mana Pejabat KPDN terdekat,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :