EXCO Kesihatan Awam & Alam SekitarJamaliah Jamaluddin menjawab soalan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Lebih 1,800 individu jalani rawatan mental di klinik kesihatan tiap tahun sejak 2020

SHAH ALAM, 11 JULAI: Sebanyak 10,459 kes gangguan mental dirujuk ke klinik kesihatan daerah seluruh Selangor dalam tempoh empat tahun dari 2020 hingga 31 Mac 2024, kata EXCO kesihatan awam.

Jamaliah Jamaluddin berkata dapatan itu diperoleh melalui bilangan kes gangguan mental yang dirawat di klinik kesihatan daerah seluruh Selangor.

“Tahun 2020 merekodkan 1,858 kes diikuti 2021 (1,942), 2022 (2,065), 2023 (2,297) dan untuk 2024 hingga 31 Mac, 2,297 kes dilaporkan.

“Bilangan kes mental yang telah stabil dan meneruskan rawatan di kilinik kesihatan bagi trend empat tahun lebih kurang sama bagi negeri ini.

“Klinik kesihatan di daerah Klang merawat pesakit tertinggi iaitu lebih 500 kes setahun, diikuti klinik kesihatan daerah Petaling (lebih 400 pesakit) dan Sepang (lebih 300 pesakit),” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Jamaliah memaklumkan antara penyebab gangguan kesihatan mental adalah faktor genetik dan personaliti seperti tahap ketahanan mental yang rendah menyebabkan individu sukar menguruskan cabaran hidup.

“Antara cabaran hidup yang dihadapi termasuklah isu kewangan, keluarga dan rumah tangga, kesihatan fizikal, persekitaran perumahan yang tidak menyokong serta isu kerjaya dan tempat kerja.

“Selain itu, stigma terhadap kesihatan mental. Keadaan ini menyumbang kepada keengganan individu yang terkesan dengan kesihatan mental untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang disediakan kerajaan,” jelasnya.

Beliau menambah Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program Selangor Mental Sihat (SEHAT) pada 2021 untuk menangani isu kesihatan mental itu.

“Melalui program SEHAT, individu yang terkesan boleh mendapatkan bantuan melalui inisiatif yang disediakan di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) seperti talian SEHAT, saringan kesihatan mental, video psikopendidikan dan subsidi rawatan psikiatri dan psikologi.

“SEHAT juga dapat membantu kerajaan pusat melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam menangani masalah kesihatan mental.

“Hab Mental SEHAT di setiap daerah bermula pada tahun ini sebagai projek rintis dimana setiap hab akan menyediakan khidmat seorang kaunselor yang akan memberikan bantuan sesi kaunseling kepada penduduk setiap Sabtu untuk tempoh tiga jam,” ujarnya.


Pengarang :