Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan peserta yang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring DUN Sungai Tua di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 14 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 200 penduduk sertai saringan kesihatan DUN Sungai Tua

GOMBAK, 14 JULAI: Lebih 200 individu hadir ke Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai di sini hari ini.

Penyelarasnya Norhayati Hasan berkata sambutan amat menggalakkan sejak jam 9 pagi tadi selain mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke program itu yang tamat jam 3 petang ini.

“Sejak dianjurkan, program Selangor Saring ini semakin mendapat tempat di hati masyarakat, ramai orang sudah mula cakna dengan kesihatan diri masing-masing tambahan pula pemeriksaan ini ditawarkan secara percuma.

“Rata-rata peserta yang hadir pula terdiri dalam kalangan Cina paling tinggi diikuti Melayu dan India. Kita amat mengalu-alukan orang awam berkunjung ke program ini setiap kali dianjurkan kerana pentingnya pemeriksaan dari awal,” katanya.

Mengulas pemeriksaan yang disediakan, Norhayati berkata antara saringan kesihatan dibuat ialah jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi, barah, mata, telinga dan gigi.

“Apabila peserta telah menjalani saringan di sini, keputusan akan keluar menerusi aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) dan sekiranya didapati ada simptom mereka boleh ke panel Selcare berhampiran untuk jalani pemeriksaan susulan,” katanya.

Orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring DUN Sungai Tua di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 14 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua hadir meluangkan masa kira-kira satu jam bagi meninjau program tersebut diiringi EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin.

Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Amirudin mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.

Selepas ini, inisiatif Selangor Saring dijadual berlangsung pada 20 Julai di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan (DUN Batu Tiga). Awal bulan ini, saringan kesihatan percuma itu telah diadakan di DUN Paya Jaras dan Dengkil.

 


Pengarang :