Penjawat awam Norsahida Ab Kadir, 37, (dua, kanan), tidak melepaskan peluang bersama keluarga untuk mendapatkan anak pokok percuma pada Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan pada 7 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 7,000 anak pokok pelbagai jenis diagih percuma di Madani Rakyat

KUANTAN, 7 JULAI: Lebih 7,000 anak pokok pelbagai jenis diagihkan secara percuma oleh Jabatan Pertanian Pahang kepada orang ramai sepanjang tiga hari berlangsungnya Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan di sini sejak Jumaat lepas.

Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Pahang Mohd Ismawi Salimin berkata antara anak pokok yang diberikan kepada pengunjung ialah tiga jenis pokok kelapa iaitu kelapa pandan, kelapa MYD (Malayan Yellow Dwarf) dan kelapa Malayan Red Dwarf.

Selain kelapa, anak pokok manggis mester, halia, durian premium iaitu musang king D197 serta duri hitam D200 turut diagihkan dan paling mendapat sambutan, kata Mohd Ismawi.

“Durian memang cepat habis agihan kupon (untuk mendapatkan anak pokok perlu mendapatkan kupon), apabila dalam masa 30 minit sahaja kupon sudah habis diberikan kepada pengunjung untuk mendapatkan anak pokok itu secara percuma.

“Pengunjung dah beratur panjang untuk mendapatkannya sebab di luar, anak pokok ini dijual agak mahal pada harga RM40 dan kerana itu orang berebut untuk mendapatkannya di sini. Sepanjang tiga hari ini, kami hanya memperuntukkan sebanyak 400 sahaja anak pokok durian premium ini,” katanya kepada Bernama.

Selain durian, beliau berkata anak pokok mester turut mendapat permintaan tinggi dan dalam tempoh dua hari sahaja sejak PMR diadakan, sebanyak 600 anak pokok buah yang kelihatan seperti manggis itu sudah habis diagihkan kepada pengunjung.

Tidak hanya fokus kepada anak pokok buah-buahan, Mohd Ismawi berkata pihaknya turut mengagihkan sebanyak 200 set pertanian bandar serta pelbagai jenis benih sayur-sayuran secara percuma kepada pengunjung.

“Set pertanian bandar sama seperti durian, cepat habis agihannya, sambutan sangat menggalakkan. Dalam semua ini, paling banyak kami bawakan adalah anak pokok kelapa kerana ia juga turut mendapat permintaan di pasaran selain durian. Ada juga yang tanya anak pokok kelapa matag tetapi untuk kali ini kami tidak bawa.

“Selain itu, kami juga ajar mereka bagaimana hendak tanam dan cara penjagaan supaya anak benih dan anak pokok yang mereka dapat itu tidak sia-sia,” katanya sambil menambah tujuan jabatan ini mengagihkan anak pokok dan benih secara percuma adalah untuk menggalakkan mereka menanam bagi mengurangkan kos sara hidup.

Menganggapnya sebagai ‘pemberian sangat berbaloi’, penjawat awam Norsahida Ab Kadir, 37, berkata aktiviti pengagihan pokok secara percuma oleh Jabatan Pertanian Pahang itu langkah terbaik untuk menarik minat anak muda menanam pokok.

“Keluarga kami ada buat tanam sikit-sikit di pekarangan luar rumah. Jadi, bila ada program sebegini, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk mencuba tanam pokok kelapa ini,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

– BERNAMA


Pengarang :