AGENDAJENAYAH

Lima individu ditahan disyaki terbabit lebih 15 kes pecah rumah

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Polis percaya berjaya menyelesaikan lebih 15 kes pecah rumah dengan penahanan tiga lelaki dan dua wanita dalam operasi di sekitar Lembah Klang pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata dua lelaki bersama pasangan masing-masing serta seorang lagi rakan mereka, kesemuanya berusia lingkungan 22 hingga 32 tahun ditahan kira-kira 8 malam.

Beliau berkata penahanan kesemua individu itu susulan laporan daripada seorang wanita berusia 46 tahun berkaitan kediamannya di Puchong, Selangor dipecah masuk yang menyebabkan kerugian kira-kira RM40,000 Khamis lepas.

“Semakan mendapati kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau dan polis berjaya merampas sebahagian barang kes seperti jam tangan dan beg tangan wanita.

“Hasil soal siasat awal terhadap mereka, polis berjaya menyelesaikan lebih daripada 15 kes pecah rumah di sekitar Subang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata kesemua individu itu direman hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :