Jenazah Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, yang meninggal dunia selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Kulim pada 9.45 malam, 10 Julai 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Makan keropok beracun: Selepas abang, adik pula meninggal dunia

GEORGE TOWN, 12 JULAI: Mangsa kedua insiden keropok beracun Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan, 2, menghembuskan nafas terakhirnya hari ini hanya dua hari selepas pemergian abangnya Muhammad Akil Syauqi, 3, ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ibu kanak-kanak itu Nurain Hasnorizal, 25, ketika dihubungi berkata anak bongsunya meninggal dunia kira-kira 1.24 tengah hari tadi.

Terdahulu, kedua-dua beradik malang itu menerima rawatan di PICU HPP sejak Ahad lepas selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim di Kedah.

Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia kira-kira 8.30 pagi Rabu selepas 78 jam bertarung nyawa.

Nurain berkata proses bedah siasat anak bongsunya akan dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik HPP hari ini sebelum jenazah dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan berhampiran pusara abangnya.

Walaupun sedih dan perit untuk menerima hakikat itu namun beliau reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya reda, biarlah dia ikut abangnya daripada menanggung kesakitan di sini…hilang sudah semua kesakitan adik sekarang,” katanya dengan nada teresak-esak.

Media melaporkan dua kanak-kanak itu dipercayai mengambil peket makanan ringan yang digantung di dawai besi pagar kebun yang dikatakan untuk memerangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu mangsa pada 11 pagi hari kejadian selepas melihat kedua-dua anaknya muntah dan mulut mereka berbuih.

— BERNAMA


Pengarang :