AGENDANASIONAL

Malaysia kutuk serangan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin

PUTRAJAYA, 14 JULAI: Malaysia mengutuk serangan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin, termasuk serangan udara di kem pelarian al-Mawasi semalam yang meragut banyak nyawa tidak berdosa, termasuk wanita dan kanak-kanak serta mencederakan ratusan orang yang lain.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan serangan keji dan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di kawasan yang ditetapkan oleh Israel sebagai zon selamat untuk rakyat Palestin, menunjukkan pengabaian dan tindakan tidak menghormati nyawa manusia.

“Ia juga bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia kekal dengan sokongan teguh terhadap rakyat Palestin dan menolak sekeras-kerasnya keganasan dan kekejaman berterusan yang dilakukan rejim Israel,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar juga menekankan bahawa keganasan yang berterusan itu secara jelas melanggar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 (2024) yang menyeru untuk menghentikan segera peperangan, melindungi penduduk awam dan memberi akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan di Gaza.

Ia seterusnya menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera dan tegas bagi mengakhiri keganasan Israel dan menuntut pemimpin Israel bertanggungjawab ke atas jenayah tidak berperikemanusiaan itu.

– BERNAMA


Pengarang :