Beberapa pokok tumbang selepas angin kencang melanda sekitar pusat bandar raya Shah Alam pada 21 April 2020. Foto ihsan MBSA
PBTSELANGOR

Mangsa pokok tumbang boleh tuntut ganti rugi

Oleh Zulhusny Zaker

SHAH ALAM, 14 JULAI: Mangsa pokok tumbang boleh memohon ganti rugi melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

Datuk Bandar Shah Alam berkata mangsa perlu melalui beberapa prosedur antaranya mempunyai bukti bergambar serta laporan polis.

Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata tuntutan pampasan mengenai pokok tumbang bagaimanapun tertakluk kepada keputusan siasatan yang dijalankan pihak insurans.

“Seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), mangsa perlu melalui beberapa prosedur antaranya menyediakan beberapa dokumen penting seperti gambar serta laporan polis.

“Tuntuan atau ganti rugi boleh dibuat melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan insurans akan jalankan siasatan,” katanya ditemui dalam program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata MBSA mengenal pasti terdapat lebih 1,000 pokok berisiko di lokasi sekitar daerah ini.

Beliau berkata MBSA berbelanja RM3.4 juta tahun lalu dan lebih RM1 juta tahun ini bagi memastikan kejadian pokok tumbang tidak berlaku.

“Kerja pemantauan dilakukan panel dilantik untuk memastikan pokok di Shah Alam berada dalam keadaan selamat.

“Kita juga ada doktor pokok atau arborist yang akan kenal pasti pokok itu stabil atau tidak serta memberi nasihat sama ada sesuai untuk ditebang atau dicantas,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh hubungi talian 1800-88-4477 sekiranya berlaku kejadian pokok tumbang.

Terdahulu, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia memaklumkan, negara merekodkan 5,913 kes pokok tumbang.

Daripada jumlah itu 1,085 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini dan Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 953 kes pokok tumbang.


Pengarang :