Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) memasukkan derma sebagai simbolik pelancaran kempen sedekah Tabung Amanah Anak Yatim Negeri Selangor 2021 di Hotel Acapella Suite, Shah Alam pada 1 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Masyarakat diseru derma pada pertubuhan berdaftar, buat audit

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Sifat mudah simpati dan belas kasihan masyarakat untuk membantu individu dilanda musibah membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menangguk di air keruh untuk mengutip wang atas alasan derma.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamad Yoosuf menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menderma terutama jika melibatkan individu dan pertubuhan tidak berdaftar.

“Orang ramai perlu memastikan mereka menderma serta memberi sumbangan kewangan hanya kepada pertubuhan yang didaftarkan dan menjalani proses audit.

“Mereka juga perlu tahu bagaimanana wang derma itu digunakan. Akaun bank milik pertubuhan yang mengutip derma ini juga perlu menjalani proses audit bagi memastikan wang derma yang diterima disalurkan kepada pihak sepatutnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa tangkapan melibatkan individu dan pempengaruh media sosial berkaitan penyelewengan wang derma baru-baru ini.

Semalam, pasangan suami isteri pempengaruh media sosial dipercayai terlibat dalam isu penyelewengan wang kutipan derma direman empat hari bagi membantu siasatan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memaklumkan pasangan berkenaan disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam sejak 2020 yang dianggarkan mencecah RM3 juta.

Pada 9 Julai lepas, polis menahan seorang lelaki dikediamannya di Wangsa Maju di sini dipercayai terlibat dengan penipuan dalam urusan bayaran guaman dan kutipan dana sejak tahun lepas melibatkan kerugian lebih RM140,000.

-BERNAMA

 


Pengarang :