Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Jejambat Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada 7 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Jejambat Bandar Saujana Putra bantu surai trafik lebih 4,000 kediaman

KUALA LANGAT, 7 JUL: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan pembukaan jejambat Bandar Saujana Putra sepanjang 820 meter di sini malam ini.

Sejurus pelancaran itu, jejambat yang dibina melibatkan kos RM70 juta itu dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula jam 12.01 tengah malam.

Amirudin turut menyempurnakan simbolik pelancaran dengan pelepasan ‘flag off’ dan mengedarkan ‘goodies bag’ Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) kepada pengguna yang melalui jejambat itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan Jejambat Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada 7 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR

Hadir sama, EXCO Infrastruktur Izham Hashim, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Lau Weng San, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan pembukaan jejambat yang menghubungkan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Bandar Saujana Putra terutama pada waktu puncak.

“Pembinaan jejambat ini merungkai keresahan 4,000 kediaman di sekitar kawasan di sini (Bandar Saujana Putra) berkenaan isu trafik untuk sekian lama.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Jejambat Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada 7 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR

“Kesesakan waktu puncak pada pagi ketika pengguna ingin ke tempat kerja dan waktu petang pulang dari pejabat masing-masing.

“Paling kritikal (kesesakan) di Rimbayu yang mempunyai ribuan kawasan perumahan. Pengguna perlu melalui laluan simpang kecil di kawasan sekitar. Jadi, jejambat ini akan memancar ke SKVE, ELITE, Rimbayu dan Bandar Saujana Putra untuk menghuraikan kesesakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan jejambat itu.

Menurut Amirudin lagi, Kerajaan Negeri melalui PNSB turut membantu menyelesaikan penangguhan pembinaan jejambat itu bersama pemaju sejak sekian lama.

“Penangguhan disebabkan pandemik Covid-19, proses kelulusan dari pihak berwajib kerana perlu berurusan melibatkan dua konsensi lebuh raya iaitu Lebuhraya Utara Selatan dan SKVE.

“Ikut rancangan awal jejambat dibuka pada Mei lalu, namun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lalu memutuskan dibuka secara rasmi pada 7 Julai setelah memuktamadkan pihak yang akan buat penyelenggaraan,” jelasnya.

Jejambat Bandar Saujana Putra sepanjang 820 meter dibuka kepada pengguna dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 7 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR
Jejambat Bandar Saujana Putra sepanjang 820 meter dibuka kepada pengguna dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 7 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR

Pengarang :