GOMBAK, 14 JULAI: Isu pemilikan rumah strata akan diselesaikan lebih giat mulai tahun depan menerusi Belanjawan 2025 bagi memastikan penduduk memperoleh geran hak milik aset hartanah mereka.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran akan memberi fokus terhadap perkara itu memandangkan masalah terbabit sudah membelenggu pemilik sejak 40 tahun lalu.
Justeru beliau meminta EXCO perumahan serta Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) menubuhkan jawatankuasa untuk meneliti lebih lanjut termasuk kos diperlukan.
“Kebanyakan melibatkan perumahan era 1990-an. Ada juga lebih 30,40 tahun dan perlukan penelitian dari Kerajaan Negeri. Pagi tadi saya di Hulu Kelang dan isu (aduan) yang penting belum selesai ialah pemilikan strata.

“Saya berharap dalam pembentangan belanjawan tahun depan, EXCO dan LPHS akan sediakan cadangan dan kertas kerja untuk selesaikan isu ini di seluruh Selangor. Mungkin perlukan kerjasama dengan persekutuan atau pemilik.
“Kalau selesaikan secara runcit, satu persatu..ia perlukan komitmen kewangan. Tindakan ini nak jamin hak pemilikan serta aset yang bakal jadi nilai dalam kehidupan rakyat. Kalau nak selesaikan masalah rakyat bukan hanya beri bantuan ringgit sahaja tetapi selesaikan masalah akarnya,” katanya.
Berucap di program Rewang Komuniti Strata Majlis Perbandaran Selayang, Ahli Parlimen Gombak berkata pentadbiran menyasarkan 50 peratus masalah berkenaan diselesaikan berperingkat mulai tahun depan.
“Insyaallah-Allah strata di Gombak akan menjadi keutamaan (rintis). Kita bukan hanya selesaikan kertas geran tetapi juga pemilikan harta nilaian yang selama ini tertangguh mencecah lebih 30 tahun,” katanya.
