Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisi Selangor Sesi 2024-2025 di Hotel Concorde Shah Alam, pada 15 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

MB seru ketua kampung, wakil rakyat bekerjasama selaras program negeri

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerjasama di antara pemimpin masyarakat amat penting untuk menyampaikan inisiatif negeri, menurut Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketua kampung perlu menyelaras setiap program kebajikan yang ingin disalurkan Ahli Dewan Negeri (ADN) kepada penduduk di setiap lokaliti.

“373 kampung yang telah diwartakan merupakan wakil kerajaan. Di lokaliti masing-masing ketua kampung akan mempunyai ADN dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tanggungjawab membantu dan menyelaras program mereka.

“Kerajaan Negeri menyediakan 46 program kebajikan. Kita ada inisiatif Sihat Selangor dan MamaKerja. Sebahagiannya perlu pendaftaran. Kalau nak diharapkan ADN buka pusat khidmat untuk orang datang daftar, kurang berkesan.

“Jadi ketua kampung perlu membantu, meraikan program dibuat ADN dengan membantu menyalurkan semua maklumat program bantuan yang manfaatnya harus dirasai dan dinikmati oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berswafoto bersama pengerusi JPKK selepas majlis penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisi Selangor Sesi 2024-2025 di Hotel Concorde Shah Alam, pada 15 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Amirudin turut mengingatkan ketua kampung dilantik memelihara hubungan harmoni dengan pegawai daerah bagi membolehkan program pembangunan dapat dirangka mengikut keperluan penduduk.

“Ketua kampung akan dikawal selia oleh pegawai daerah untuk melaksana kerja pentadbiran, program kebajikan, sosial hingga mencadangkan bentuk penyelenggaraan dan pembangunan perlu dilaksanakan di setiap kampung.

“Hubungan dua hala ini untuk memastikan isu berkaitan pendaftaran, penyelenggaraan, situasi, keadaan di kampung dan program balai raya dapat ditambah baik serta disampaikan dalam mesyuarat supaya ada tindakan dapat dicadangkan kepada Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES),” ujarnya.

 


Pengarang :