Selangor Red Giants ketika beraksi di kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang 2024 di Riyadh, Arab Saudi pada 13 Julai 2024. Foto Facebook Esports World Cup
AGENDANASIONAL

MB ucap tahniah Selangor Red Giants cipta sejarah di Arab Saudi

SHAH ALAM, 14 JULAI: Dato’ Menteri Besar teruja apabila pasukan Selangor Red Giants mara ke pentas final di kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang 2024.

Pasukan e-sukan itu yang merupakan wakil tunggal Malaysia menewaskan pasukan Singapura, NIP Flash di Riyadh, Arab Saudi semalam, lapor Berita Harian.

“Tahniah Selangor Red Giants berjaya mara ke Grand Final MSC 2024,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Pada aksi separuh akhir itu, Arcadia memulakan perlawanan dengan kemas menggunakan format ‘Best Of Five’ untuk menang mudah 15 ‘kills’ berbalas lapan dalam tempoh hampir 15 minit.

Momentum kemenangan itu diteruskan oleh skuad gergasi merah dalam Perlawanan 2 apabila hanya memerlukan sekitar 12 minit untuk meraih kemenangan 19 ‘kills’ berbalas sembilan.

Pada perlawanan ketiga, pasukan itu goyah pada awal permainan sebelum bangkit mendapatkan rentak permainan dan memperkemas aksi untuk mara ke perlawanan akhir dengan kemenangan meskipun skor seri 17-17.

Hari ini, Selangor Red Giants akan berdepan cabaran Team Falcons AP Bren Sport yang menewaskan Liquid Echo 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir kelmarin.


Pengarang :