Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) menyaksikan penyerahan cek cura Insentif Haji Muassasah Daerah Hulu Selangor oleh Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Selangor Ahmad Azri Zainal Nor kepada penerima ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Komuniti Pendidik dan Jemaah Haji Muassasah peringkat Hulu Selangor pada 5 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI mahu jumpa TH bincang kaedah salur insentif haji RM2,000

SHAH ALAM, 19 JULAI: Perbincangan akan diadakan dengan Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung kenaikan Insentif Haji Muassasah kepada RM2,000 untuk jemaah negeri mulai 2026.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pertemuan bulan depan juga menjurus kepada mekanisme saluran sumbangan bagi memudahkan jemaah berbelanja dan menyediakan keperluan.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor

“Kita dalam proses itu (tingkatkan sumbangan). Insya-Allah bulan depan kita jumpa pengarah TH negeri untuk cari jalan terbaik bantu jemaah.

“Mungkin kita salurkan wang tunai RM1,000 secara terus dan bakinya dikreditkan dalam akaun atau bangunkan aplikasi untuk memudahkan mereka berbelanja.

“Ini mungkin cara yang kita akan perkenalkan tetapi belum diputuskan lagi. Kita akan teliti semua aspek,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada Selangorkini.

Ahad lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan insentif berkenaan bakal dinaikkan kepada RM2,000 pada 2026 berbanding RM1,000 ketika ini.

Sementara itu Ahmad Azri menggesa jemaah haji tahun ini yang masih belum membuat tuntutan berkenaan supaya segera memohon dengan mengunjungi pusat khidmat DUN masing-masing.

“Setakat ini hanya 3,000 jemaah sudah memohon dan terima sumbangan. Ada lagi separuh yang belum membuat permohonan. Jadi kepada jemaah yang baru balik atau akan balik untuk hantar permohonan,” katanya.

Tahun ini, Kerajaan Negeri turut meningkatkan Insentif Haji Muassasah dari RM500 kepada RM1,000 melibatkan peruntukan RM6 juta dan memanfaat 6,000 jemaah haji.


Pengarang :