Kontraktor melakukan pembersihan secara berperingkat sebelum perobohan Stadium Shah Alam ketika tinjauan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Saipolyazan M Yusop pada 1 Julai 2024. FOTO ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

MBI minimumkan gangguan bunyi, habuk dalam bangunkan kompleks sukan

SHAH ALAM, 2 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengambil kira elemen bunyi, debu, kawalan trafik, tiada mendapan bergerak yang mengganggu penduduk untuk pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop berkata ia dimasukkan ketika penyerahan kepada pihak berkuasa tempatan.

“Ia juga termasuk kajian trafik supaya kalau tidak ada gangguan sifar, sekurang-kurangnya seminimum mungkin dari segi gangguan bunyi, habuk dan sebagainya agar tidak berlaku kepada penduduk sekitar,” katanya lapor Harian Metro.

Selain itu beliau berkata 10 ekar tanah di kompleks itu diserah kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dibawah kerajaan persekutuan bagi projek mitigasi banjir.

“Saya dimaklumkan ia dalam proses penganugerahan untuk diberi kepada kontraktor dan dilaksana bersekali dengan projek ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Saipolyazan M Yusop ketika tinjauan perobohan Stadium Shah Alam pada 1 Julai 2024. FOTO ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

“Kita dapat selesaikan keseluruhan masalah di kawasan itu daripada akses, pengangkutan dan isu banjir di mana Seksyen 13 ini sangat sinonim seperti berlaku pada 2021,” katanya.

Saipolyazan menambah pembangunan KSSA menawarkan pelbagai peluang pekerjaan termasuk teknikal dan industri baharu seperti industri hijau atau solar.

Selain itu katanya turut ditawarkan peluang kerja dalam bidang peruncitan, hab pengangkutan, stesen transit aliran ringan (LRT), teater tertutup, pemasaran, makanan dan minuman.

“Kita jangka dengan adanya hotel di kawasan ini, ia akan menyediakan peluang pekerjaan di pelbagai peringkat. Dalam bidang sukan, peluang kerja seperti marsyal ditawarkan,” katanya.

Sementara itu Saipolyazan berkata proses perobohan menggunakan dua jentera jenis hidraulik breaker iaitu kaedah konvensional tanpa bahan letupan bagi mengelak gangguan bunyi, habuk dan air terhadap penduduk.

“Kerja perobohan berlangsung selama setahun dan kita jangka bumbung bangunan mula dibuka penghujung bulan ini atau awal Ogos.

“Sejurus perobohan berada di peringkat pertengahan sekitar Oktober depan, kontraktor akan memulakan kerja tanah seperti tambakan bagi mempercepat proses pembinaan stadium baharu,” katanya.


Pengarang :