Keindahan pemandangan Masjid Bandar Diraja Klang. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Memahami realiti perbandaran, dari lonjakan kos ke pengecualian cukai

Pihak berkuasa tempatan (PBT) membelanjakan 50 peratus hasil kutipan cukai untuk pengurusan sisa pepejal dan kerja-kerja pembersihan awam. Kira-kira 30 peratus lagi untuk membangunkan dan menyelenggara prasarana.

Kos pengurusan pula menelan belanja 18 peratus daripada setiap RM1 cukai. Walau perbelanjaan ini sentiasa meningkat saban tahun, sudah puluhan tahun semua 12 PBT di Selangor tidak menaikkan cukai taksiran.

Selain itu, Kerajaan Negeri setiap tahun bermurah hati mengecualikan cukai kepada lebih 400,000 unit rumah kampung dan kos rendah sejak 2016 bagi mengurangkan beban kepada golongan berpendapatan rendah.

Tanpa kutipan cukai baharu, PBT tentu sukar menyediakan perkhidmatan yang semakin bertambah pada masa depan. Jika semakan cukai terus tertangguh, pastilah kerja-kerjanya terjejas dan akhirnya menyusahkan orang ramai.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) baharu sahaja mengenakan bayaran mulai 1 Januari tahun ini setelah 39 tahun tiada kenaikan — PBT paling lama tidak membuat semakan di Selangor.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) pula tidak menaikkan cukai taksiran masing-masing selama 37 tahun.

Tempoh tanpa semakan paling pendek, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Ia menaikkan cukai terakhir pada 2006 atau 18 tahun lalu. Lapan lagi PBT tidak membuat semakan antara 27 hingga 32 tahun lalu.

Selain pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, dana yang dikutip PBT digunakan untuk, antaranya, kawalan penyakit, urusan saliran, pengindahan bandar dan kendalian lalu lintas.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan kepada Selangorkini, peningkatan kos pengurusan dalam situasi ekonomi semasa menyebabkan mereka terpaksa menanggung perbelanjaan yang tinggi.

“Kami perlu membelanjakan RM3 berbanding cukai yang dikutip hanya RM1 untuk setiap rumah. Contohnya, peningkatan yuran penyelenggaraan juga menyebabkan MPKS perlu menanggung kos pengurusan sisa pepejal yang tinggi,” kata PBT itu.

Lima tahun

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), yang dinaik taraf pada 23 November lalu, misalnya merancang menyediakan tebatan banjir di Taman Sri Kerayong, Taman Klang Utama dan Taman Sungai Kapar Indah.

MBDK juga merancang pembinaan laluan kedua kawasan industri Telok Gong dan Kompleks Sukan Klang Utara di Bandar Bukit Raja.

Kawasan majlis bandar raya tersebut pesat membangun dengan penduduk padat tetapi cukai taksirannya tidak dinilai semula selama 31 tahun, kali terakhir disemak pada 1993.

Jumlah bayaran cukai taksiran, atau cukai pintu, bagi setiap PBT berbeza-beza bergantung pada nilai hartanah di sesuatu kawasan dan jumlah sewaan yang dianggarkan bagi setiap jenis hartanah.

Kawasan yang menjadi tumpuan pembangunan dan padat penduduk seperti Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam misalnya tentu lebih tinggi daripada Sabak Bernam atau Hulu Selangor.

Dikuatkuasakan bawah Seksyen 127 Akta Kerajaan Tempatan 1976, cukai taksiran boleh dinilai setiap lima tahun atau tempoh lebih lama selepas mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.

Seperti diumumkan EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim pada 29 Mei, Selangor menetapkan kadar maksimum 25 peratus cukai taksiran di semua PBT.

Jadual (lihat infografik) menunjukkan contoh pengiraan jumlah cukai taksiran tahunan bagi tiga jenis hartanah termasuk kediaman dan bangunan. Cukai tersebut dikira menggunakan anggaran kasar sewa tahunan.

Jumlah sewaan itu pula ditetapkan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta setiap pihak berkuasa tempatan. Kadar peratusan cukai diluluskan Kerajaan Negeri selepas menerima cadangan daripada PBT.

Bantahan

Cara kiraannya, sewa kasar setahun didarab dengan kadar cukai taksiran. Jumlah kiraan itulah cukai yang perlu dibayar penduduk kepada PBT setiap tahun. Cara pengiraan juga sama bagi cukai taksiran bangunan.

Namun bagi tanah kosong, ia tertakluk kepada nilai pasaran semasa. Misalnya keluasan tanah 5,000 meter persegi dan nilai pasaran semeter persegi adalah RM4,000. Ertinya, harga pasaran tanah tersebut RM2 juta.

Jika kadar cukai taksiran bagi tanah kosong ialah 5 peratus, RM2 juta didarab dengan kadar berkenaan. Jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar adalah RM10,000.

Cukai tahunan juga boleh berbeza walau jenis hartanah itu sama kategori jika keluasan lantai telah diubah suai atau ditambah.

Namun, menurut Seksyen 142 Akta Kerajaan Tempatan 1976, setiap pemilik harta berhak mengemukakan bantahan bertulis kepada PBT. Bantahan ini akan diproses melalui pendengaran awam yang ditetapkan tarikhnya.

Misalnya Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) masing-masing menerima lebih 40,000 dan 20,000 bantahan selepas tamat tempoh 31 Mei.

Pendengaran awam MPS bermula 1 Julai tetapi MPAJ mulai 24 Jun lagi. Selayang tidak menyemak cukai taksiran selama 32 tahun, sementara Ampang Jaya pula 27 tahun.

Bagaimanapun Kerajaan Negeri menetapkan dasar membantu pemilik harta yang berpendapatan rendah. Satu daripada kira-kira 50 program kebajikan Iltizam Selangor Penyayang, dasar ini menelan kos RM500 juta.

Menurut Laporan Pencapaian dan Prestasi Kerajaan Negeri Selangor 2018-2023, pengecualian cukai memberi manfaat kepada lebih 2.5 juta pemilik kediaman kos rendah dan rumah kampung.

Selepas pilihan raya umum negeri pada Ogos tahun lepas, Kerajaan Negeri mengumumkan pengecualian cukai taksiran kepada 426,656 rumah kos rendah dan kampung dengan implikasi kewangan RM29.415 juta.

Pengecualian ini untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.


Pengarang :