Orang ramai mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (Padu) ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Sistem pangkalan data permudah proses mohon, salur bantuan

SHAH ALAM, 11 JULAI: Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) diwujudkan bagi membantu permudah proses semakan permohonan bagi program bantuan yang disediakan kerajaan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sebelum ini setiap program bantuan perlu melaksanakan semakan silang dengan semua agensi terlibat sekali gus memerlukan tempoh masa panjang.

“Apabila ada program bantuan, ada permohonan, ia perlu disemak satu persatu. Ia perlu disemak dengan setiap kementerian, jabatan dan agensi terlibat dan ambil masa panjang.

“Jadi sekarang, apabila ada permohonan kita semak silang melalui Padu. Berbeza dengan sebelum ini, semuanya perlu cari data sendiri kerana negara tiada pengumpulan data seperti Padu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam-BN) berhubung pelaksanaan sistem Padu terhadap penyasaran subsidi di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi menjelaskan penyasaran subsidi dibuat secara mengejut berikutan kerajaan mahu mengimbangi kesan yang dijangka berlaku terhadap ekonomi negara.

Menurutnya kerajaan bimbang berlakunya impak kenaikan mendadak harga barangan kepada pengguna sekiranya program penyasaran subsidi tersebut diumumkan lebih awal.

“Sebab itu keputusan kerajaan ialah lebih baik (penyasaran subsidi) dibuat apabila semuanya telah selesai di peringkat kerajaan.

“Itu akan mengurangkan risiko kenaikan yang berkali-kali (dan) berbulan berlaku apabila peniaga menggunakan alasan untuk tempoh yang akan datang ada beberapa siri kenaikan,” katanya.

Pada 9 Jun lalu kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter, iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 10 Jun.

Susulan itu, kerajaan memperkenalkan inisiatif Budi Madani dengan bantuan tunai RM200 sebulan bagi memastikan peruntukan subsidi disasar kepada golongan layak.


Pengarang :