AGENDANASIONAL

Negara rugi lebih RM25 bilion tahun lalu akibat kemalangan jalan raya

SHAH ALAM, 11 JULAI: Malaysia menanggung kerugian lebih RM25 bilion tahun lalu akibat kemalangan jalan raya, mewakili 1.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kenaikan berbanding anggaran kerugian tahun terdahulu merujuk statistik kematian dan kecederaan parah dilaporkan polis, lapor Berita Harian.

“Berdasarkan statistik itu, negara dianggarkan mengalami jumlah kerugian hampir RM18 bilion pada 2010 iaitu 2.2 peratus daripada KDNK.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menunjukkan aplikasi harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya pada 17 April 2023. Foto BERNAMA

“Ia meningkat kepada lebih RM25 billion pada 2023,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Labis Pang Hok Liong berhubung jumlah kerugian ditanggung akibat kemalangan jalan raya setiap tahun dan langkah efektif bagi mengatasi masalah itu.

Mengulas langkah efektif bagi mengatasi masalah tersebut, Loke berkata Kementerian Pengangkutan membangunkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 (PKJRM 2022-2030).

Jelasnya, pelan itu bagi mencapai pengurangan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sekurang-kurangnya pada kadar 50 peratus menjelang 2030, selaras seruan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 


Pengarang :