Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) dan EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari (lima, kanan) bergambar bersama penerima ketika Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri belanja RM600,000 biaya pendidikan wanita peringkat diploma hingga PhD

SHAH ALAM, 10 JULAI: Sejumlah RM600,000 dibelanjakan bagi membiayai pengajian 33 wanita yang menyambung pelajaran diperingkat diploma hingga doktor falsafah (PhD).

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan biasiswa Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PPHS) disalur sejak 2021 melibatkan pembelajaran pelbagai bidang antaranya perniagaan dan sains politik.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Pelaksanaan kohort pertama dan kedua merangkumi belanja sebanyak RM400,000 untuk 24 pelajar manakala kali ini membabitkan sembilan pelajar dengan kos RM200,000.

“Untuk kohort ketiga ini, kita terima 122 permohonan namun hanya 21 yang disenarai pendek sebelum memutuskan sembilan layak menerima bantuan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas menyerahkan biasiswa berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata tajaan menerusi Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) akan diteruskan pada masa depan bagi memastikan peserta mendapat kemahiran sekali gus membantu peningkatan pendapatan.

“Biasiswa ini menumpukan pengajian yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi penjagaan seperti sains kesihatan, pemulihan cara kerja dan pendidikan bimbingan dan kaunseling,” katanya.

Penerima biasiswa bergambar bersama selepas Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Selain bantuan PPHS, Kerajaan Negeri menerusi AKW turut menyediakan program pemantapan kemahiran wanita berusia 21 hingga 45 tahun dan bertindak sebagai ‘saluran bakat’ ke arah melahirkan lebih ramai pemimpin wanita di lapangan politik serta kerja sosial.

Empat modul utama pembelajaran ialah kemahiran insaniah dan organisasi, kefahaman gender, kepimpinan politik dan ekonomi serta kemahiran komunikasi.


Pengarang :