Balai Polis Ulu Tiram diserang seorang lelaki menyebabkan dua anggota polis maut, seorang cedera manakala suspek ditembak mati dalam kejadian pada 2.45 pagi 17 Mei 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Operasi balai polis seperti biasa walaupun pagar ditutup 10 malam

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Penyampaian perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjalan seperti biasa walaupun arahan pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas 10 malam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata orang ramai masih boleh membuat aduan dan laporan seperti biasa.

Beliau berkata arahan kepada semua balai itu akan dilaksanakan selepas prosedur operasi standard (SOP) mengenainya dibentangkan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Azmi Kassim.

“Seperti yang ditegaskan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kita seharusnya mengimbangi bahawa balai polis adalah tempat rakyat mengadu dan pada masa sama balai polis turut menjadi sasaran ancaman, jadi kita seimbangkan antara dua keperluan itu,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto BERNAMA

Razarudin berkata pelaksanaan arahan agar pintu pagar balai ditutup selepas 10 malam setakat ini melibatkan balai di kawasan terpencil dan luar bandar.

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri mengarahkan pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas 10 malam sebagai langkah keselamatan berikutan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, baru-baru ini.

Saifuddin Nasution berkata arahan itu dilaksanakan bagi mengimbangi keperluan masyarakat untuk ke balai polis dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas.

– BERNAMA


Pengarang :