Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon ketika sidang media menjelang perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di antara Malaysia menentang Republik Kyrgyz di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 15 November 2023. Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Pan Gon letak jawatan, Pau Marti dilantik pemangku Ketua Jurulatih Kebangsaan

SHAH ALAM, 16 JUL: Kim Pan Gon meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, berkuatkuasa serta merta.

Mengumumkan perkara itu pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya hari ini, Pan Gon berkata ia atas sebab komitmen peribadi.

“Hari ini saya telah memutuskan untuk berundur dari melatih pasukan kebangsaan Malaysia kerana komitmen peribadi saya.

“Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak.

“Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah dalam hidup saya,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media sama Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata kekosongan tersebut akan diisi oleh Penolong Ketua Jurulatih Kebangsaan Pau Marti Vicente selaku pemangku Ketua Jurulatih Kebangsaan.

“Pau Marti Vicente dari Sepanyol selaku Pemangku Ketua Jurulatih Kebangsaan sambil dibantu seorang lagi Penolong Ketua Jurulatih Kebangsaan, E Elavarasan,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Yusoff berkata Pan Gon telah berjumpa dengan pihak pengurusan FAM bagi menyatakan hasrat beliau untuk memendekkan tempoh kontraknya sebelum ini.

“Kita cuba untuk memujuk beliau supaya mempertimbangkan semula hasratnya itu tetapi pada akhirnya pihak pengurusan dan Jawatankuasa Eksekutif FAM menghormati keputusan beliau dan bersetuju untuk melepaskan Pan Gon dengan persetujuan bersama.

“Biarpun beliau masih berbaki kontrak dengan FAM sehingga Disember 2025. Sudah tentu ini satu berita sedih dan duka untuk kita semua kerana Pan Gon telah berjaya membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023.

“Selain ranking FIFA, kita juga meningkat naik di sepanjang dua tahun setengah beliau membimbing pasukan kebangsaan. Kita amat berasa kehilangan beliau,” katanya.

Mohd Yusoff juga memaklumkan staf kejurulatihan lain iaitu penolong jurulatih, Park Bobae, jurulatih penjaga gol, Cho Junho, jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun akan terus kekal membantu Pau Marti dan Elavarasan dalam skuad Harimau Malaya berdasarkan kontrak masing-masing.


Pengarang :