SHAH ALAM, 23 JUL: Orang ramai berpeluang mendapat saringan kesihatan secara percuma menerusi program Selangor Saring di Dewan Sukan Pandamaran, Klang, 28 Julai.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran, saringan yang bermula 9 pagi hingga 3 petang menyediakan ujian jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan barah.
Tony Leong Tuck Chee berkata selain itu orang ramai turut perluang menjalani pemeriksaan gigi, telinga, mata dan fisioterapi.
“Jom ramai-ramai berkunjung ke lokasi program saringan kesihatan di kawasan Pandamaran
“Mereka yang mempunyai masalah pendaftaran boleh menghubungi Selcare di talian 1800-22-6600,” katanya di Facebook.
Beliau berkata orang ramai boleh mendaftar Selangor Saring di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) semudah empat langkah berikut:
- memuat turun SELangkah
- tekan butang Selangor Saring
- isi borang soal selidik
- pilih lokasi dan tarikh program
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.
Awal bulan ini, saringan kesihatan percuma itu telah diadakan di DUN Paya Jaras, Dengkil, Sungai Tua dan Batu Tiga.