EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi bergambar bersama pemain pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Pemain Mobile Legend rancang guna wang menang bina rumah keluarga

SEPANG, 17 JULAI: Pemain Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) merancang membina rumah untuk keluarganya di Marang, Terengganu.

Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman 17, yang turut muncul sebagai pemain paling bernilai dalam kejohanan di Riyadh, Arab Saudi pada 14 Julai itu berhasrat membalas jasa ibu bapanya.

“Saya bukan anak orang senang dan kejayaan ini amat bermakna untuk ibu bapa yang banyak berkorban tenaga dan wang.

“Ibu bapa sanggup keluarkan belanja beli alatan seperti telefon bimbit untuk saya bermain e-sukan ini. Saya rancang untuk membina rumah baharu buat keluarga di Marang,” katanya.

Pemain paling bernilai Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys) mewakili pasukan Selangor Red Giants (SRG) menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh Arab Saudi ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau dan ahli pasukan SRG menerima sambutan wira negara termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Sukan Najwan Halimi di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pagi ini.

SRG melakar sejarah apabila menjuarai MSC hasil kemenangan 4-3 ke atas pasukan Filipina Falcons AP Bren Sport, mengakhiri kemarau Malaysia dalam arena e-sukan antarabangsa.

Mereka membawa pulang trofi dan wang tunai AS$1 juta (RM4.6 juta) manakala Haqqullah selaku pemain paling bernilai memenangi AS$50,000 (RM235,000).

Haqqullah yang lebih dikenali sebagai Sekyss mengakui ibu bapanya mulanya tidak menyokong tindakannya untuk bergiat dalam permainan berkenaan tetapi beliau berjaya meyakin mereka.

“Saya dapat memberi keyakinan kepada ibu bapa selepas memenangi beberapa pertandingan dan membuktikan mampu menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Beraksi di posisi juggler dalam MSC, beliau bertekad untuk mengubah nasib keluarganya dengan menggunakan bahagian wang kemenangan itu selain menabung dalam Amanah Saham Bumiputera.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim serta EXCO Sukan Najwan Halimi menyambut ketibaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Penolong Jurulatih SRG Poon Kok Sing mengakui terharu lantaran tidak menyangka mereka mendapat sambutan bak wira sebaik mendarat di KLIA.

“Ketika menang pingat perak untuk kejohanan Sukan SEA tidak semeriah ini. Ia menjadi momen terindah. Terima Kasih,” katanya yang turut beraksi sebagai pemain dalam MSC.

Beliau juga gembira berikutan gigih SRG membuahkan hasil hingga mengharumkan nama negara sebelum membuat persiapan untuk kejohanan seterusnya.

“Telah banyak kami berkorban dan kemenangan ini membuktikannya. Selepas ini kami berehat seketika sebelum menghadapi pertandingan antarabangsa pada akhir bulan ini,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim serta EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi menyambut ketibaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
Selangor Red Giants meraikan kemenangan selepas muncul juara kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Riyadh, Arab Saudi pada 14 Julai 2024. Foto Facebook Esports World Cup

Pengarang :