Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman terpilih pemenang anugerah pemain paling bernilai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi pada 14 Julai 2024. Foto Instagram srg.sekyssss
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemain paling bernilai Mobile Legend rancak ‘berlatih’ selepas cemerlang UPSR

SHAH ALAM, 16 JULAI: Pemenang anugerah pemain paling bernilai (MVP) kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi bermain e-sukan sejak berusia sembilan tahun.

Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman, 17, berjinak-jinak dengan permainan Dota sebelum beralih kepada Mobile Legend tiga tahun kemudian selepas tertarik melihat abangnya bermain.

“Saya mula rancak bermain apabila ayah menghadiahkan telefon bimbit kerana dapat keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 4A 1B.

“Apabila ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya lagi kerap bermain, habis kelas sahaja mesti main Mobile Legend,” katanya yang dikenali sebagai Sekyss kepada Selangorkini.

Anak kelapan dari sembilan beradik itu memberitahu beliau mula menyertai pertandingan dalam talian semasa PKP sekali gus meraih pengalaman berharga meski tidak memperoleh kemenangan.

“Saya hanya menjadi juara pertandingan eSport MY pada dua tahun lalu dengan membawa pulang wang tunai RM20,000. Apabila dinobat sebagai pemain paling bernilai MSC, saya tidak sangka, terkedu,” katanya.

Bermain posisi jungler, beliau antara pemain Selangor Red Giants yang menjuarai kejohanan MSC pada 14 Julai sekali gus menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia dalam arena e-sukan antarabangsa.

Posisi jungler memainkan peranan penting dalam mengawal penghasilan sumber dalam hutan pada permulaan permainan tersebut.

Selangor Red Giants meraikan kemenangan selepas muncul juara kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Riyadh, Arab Saudi pada 14 Julai 2024. Foto Facebook Esports World Cup

Selangor Red Giants melakar sejarah tanah air apabila menjuarai kejohanan MSC hasil kemenangan 4-3 ke atas pasukan Filipina Falcons AP Bren Sport di Amazon Arena Riyadh.

Mereka membawa pulang trofi kejuaraan selain wang tunai AS$1 juta (RM4.6 juta) manakala Haqqullah selaku pemain paling bernilai memenangi AS$50,000 (RM235,000).

Mengulas kejayaan itu ketika dihubungi melalui FaceTime, Haqqullah memberitahu kemenangan tersebut hasil kerjasama ahli pasukannya selain peranan karakter Alpha yang digunakannya.

“Saya bernasib baik sebab hero (karakter) yang digunakan bawa tuah dan kami semua bermain bersungguh-sungguh, tiada penyesalan.

“Cuma cabaran di sini cuaca amat panas dan tahap kepanasan itu dirasai walaupun pertandingan diadakan dalam pusat beli-belah,” katanya.

Haqqullah menambah beliau mahu menggunakan bahagian wang kemenangan RM4.6 juta untuk menampung perbelanjaan seharian keluarga selain menabung dalam Amanah Saham Bumiputera.

“Yang lain hendak guna untuk kehidupan harian tetapi perlu bincang dan dapat nasihat keluarga. Untuk kelengkapan e-sukan, semua sudah lengkap,” katanya yang turut lulus Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini.

 


Pengarang :