Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan watikah kepada Pengerusi JPKK dari daerah Gombak sempena majlis penyampaian watikah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisi Selangor Sesi 2024-2025 di Hotel Concorde Shah Alam, pada 15 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Pembangkang disaran bincang ahli parlimen kerajaan bawa usul Akta Anti Lompat Parti

SHAH ALAM, 15 JULAI: Ahli parlimen pembangkang disaran berbincang dengan ahli parlimen kerajaan supaya usul pindaan Akta Anti Lompat Parti boleh dibawa ke Dewan Rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berpandangan usul itu lebih mudah dibentangkan oleh ahli parlimen Kerajaan Perpaduan ketika persidangan Dewan Rakyat sekali gus dapat menamatkan polemik mengenai kelompangan yang terdapat dalam akta berkenaan.

“Lebih mudah sekiranya ahli parlimen daripada pihak kerajaan membawa usul tersebut kerana mereka juga perlu berbincang berhubung peruntukan dalam akta itu.

“Apapun, hal ini perlu dibincangkan dalam peringkat Dewan Rakyat dan saya rasa pihak kerajaan pun bersedia untuk membincangkan penambahbaikan dalam Akta Anti Lompat Parti bagi kebaikan semua parti dan ahli parlimen,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis penyampaian watikah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisi Selangor Sesi 2024-2025 di Hotel Concorde Shah Alam, pada 15 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian pada majlis pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak mengingatkan Perikatan Nasional (PN) yang telah menyebabkan kelompangan akta itu, justeru tidak wajar gabungan pembangkang tersebut menyalahkan kerajaan.

“Kelompangan tersebut berlaku hasil bantahan wakil parti Bersatu yang mewakili PN ketika itu (semasa penggubalan Akta Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat).

“Ahli-ahli Bersatu yang buat bantahan ini (bantah perkara yang hendak dimasukkan ke dalam Akta Anti Lompat Parti) kerana hendak menjustifikasi keputusan mereka melompat masuk ke dalam Bersatu daripada parti lain.

“Dan hari ini mereka digigit dengan kelompangan yang mereka sendiri cipta,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi membaiki kelompangan yang wujud dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Antilompat Parti.

Beliau berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) pada 2022 pernah mengusulkan supaya pindaan terhadap akta itu dibuat, namun ditolak kerajaan pada masa itu.

Pada 20 Jun lalu, Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi parlimen wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong perdana menteri dikosongkan.

Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.

Bagaimanapun, Johari menegaskan keputusan berhubung status enam bekas ahli parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan adalah kekal.


Pengarang :