Muhammad Aminuddin Syubli Mahmud dinobatkan pemenang Anugerah Usahawan Mikro Negeri Selangor dalam Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 12 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
SELANGOR

Pemilik teruja restoran dikenali selepas sertai PLATS

Oleh ANNA FARINA ABDUL RAUF

SHAH ALAM, 13 JULAI: Pemilik restoran Dapur Mala teruja apabila premisnya mula dikenali ramai selepas menyertai Program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS).

Mula menyertai Platform Selangor (PLATS) pada 2023, Muhammad Aminuddin Syubli Mahmud, 32, berkata kini restorannya semakin mendapat sambutan ramai selain dapat meluaskan capaian pasaran.

“Sebelum ini saya malu di media sosial tetapi dengan adanya PLATS, dia ajar mengunakan kandungan di TikTok, guna cashless, guna chatGPT. Bila saya praktikkan apa yang diajar itu, live TikTok saya meningkat naik hingga ke 70,000 tontonan.

“Respon saya dapat daripada pelanggan, dapat tahu dari mana kedai saya, mereka tahu kedai saya daripada platform TikTok. Alhamdulillah PLATS memang banyak membantu,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (lima, kanan) bersama penerima anugerah pada Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 12 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau dinobat sebagai pemenang Anugerah Usahawan Mikro Selangor pada Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Sunway Resort Hotel malam tadi.

Hadiah disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Hadir sama EXCO Pemberdayaan Usahawan Mohd Najwan Halimi dan EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Aminuddin berkata pada awalnya beliau tidak menyangka terpilih merangkul anugerah utama itu dengan membawa pulang trofi serta wang tunai keseluruhan RM5,000.

Beliau yang menyertai program berkenaan di bawah kuota Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) turut menyeru peniaga kecil memanfaatkan bantuan Kerajaan Negeri bagi mengembangkan lagi perniagaan.

“Saranan saya sebenarnya kita peniaga jangan malu. Gunakan peluang Kerajaan Negeri bagi. Kalau ikutkan kosnya tinggi, tapi dengan ada plats ini program kursus semua percuma,” katanya.


Pengarang :