Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan berkenan bergambar bersama pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor sempena program Gagasan Rumpun Selangor daerah Kuala Selangor pada 10 Julai 2024. Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Kuala Selangor gembira jumpa Raja Muda, hidang juadah tradisi

KUALA SELANGOR, 11 JULAI: Penduduk sekitar Kampung Permatang di sini teruja bertemu dan beramah mesra dengan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, semalam.

Baginda yang mencemar duli sempena siri Gagasan Rumpun Selangor bersantap di Warung Ketupat Kampung Permatang dan disajikan juadah tradisional seperti sate, serunding dan rendang.

Bercakap kepada Media Selangor, pengusaha warung tersebut Azian Mahmud, 65, tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila dimaklumkan Baginda berkenan berkunjung ke situ.

“Ketupat dan sate kerang antara tumpuan di warung ini. Jika cuti umum dan hari minggu, sebanyak 1,000 ketupat habis terjual kerana warung ini tumpuan orang awam sejak tular di laman sosial.

“Justeru, apabila dimaklumkan Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli, saya sangat gembira dan teruja kerana dapat bersua muka dengan Baginda,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Permatang Mohd Za’ba Muda, 63, menyifatkan Tengku Amir Shah mesra rakyat dan mudah didekati.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan persembahan dabus di Warung Ketupat Kampung Permatang sempena program Gagasan Rumpun Selangor daerah Kuala Selangor pada 10 Julai 2024. Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

“Saya ada hadir ke istana atas jemputan sebagai pengerusi JPKK tetapi tidak pernah jumpa Baginda. Apabila dapat peluang hari ini, saya lihat Baginda sangat mesra menyantuni rakyat,” katanya.

Sementara itu, warga emas Abdul Halim Idris, 63, pula gembira dapat membuat persembahan dabus bersama rakan-rakan di hadapan Raja Muda Selangor dan mendapat pujian.

“Sebelum ini, kumpulan dabus ini hanya buat persembahan kebudayaan negeri sahaja tetapi apabila dapat peluang begini kami sangat gembira. Baginda juga puji persembahan ini,” katanya.

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal Kerajaan Negeri bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat dengan menjelajah ke sembilan daerah.

Bermula Februari lalu, program dengan peruntukan RM4.5 juta dimulakan di Hulu Selangor diikuti Hulu Langat, Sepang dan Petaling, manakala minggu ini di Kuala Selangor.

 


Pengarang :