Penduduk bergotong-royong menyiapkan juadah sempena kenduri rakyat pada 14 Julai 2024 di padang awam Taman Pinggiran Batu Caves. Foto SHUKRI MOHAMAD/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Penduduk rewang sedia juadah 3,000 tetamu kenduri rakyat esok

GOMBAK, 13 JULAI: Suasana di padang awam Taman Pinggiran Batu Caves di sini meriah dengan penduduk bergotong-royong menyiapkan juadah sempena kenduri rakyat esok.

Lebih 100 penduduk berkumpul di bawah khemah di hujung padang dengan masing-masing sibuk menyediakan bahan masakan, memotong daging dan mengupas bawang bagi menjayakan kenduri rakyat sempena Program Rewang Komuniti Strata peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Tiga juadah utama akan dihidangkan kepada kira-kira 3,000 tetamu esok iaitu daging gulai kawah batang pisang, sup tulang dan ayam masak merah.

Dijadual dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, antara pengisian lain program itu termasuk acara sukan rakyat, sukaneka kanak-kanak dan dewasa serta slot pengisian kekeluargaan.

Sementara itu, EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berkata program rewang komuniti strata menjadi platform penting Kerajaan Negeri mendekati rakyat setempat menerusi pelbagai pengisian bersifat komuniti.

Katanya program ziarah kasih yang melibatkan pelbagai agensi antaranya membantu mengenalpasti rakyat yang tercicir daripada menerima bantuan.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah mengadakan kunjungan ziarah kasih kepada penduduk yang menghadapi masalah kesihatan pada 14 Julai 2024 di Batu Caves. Foto SHUKRI MOHAMAD/MEDIA SELANGOR

“Pengisian program seperti ziarah kasih ini bukan hanya beri sumbangan tetapi juga ada pemeriksaan kesihatan melibatkan pelbagai agensi termasuklah LPHS (Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Jadi dari sini pihak tertentu seperti lembaga zakat boleh lihat apa yang perlu dibantu. Kita cuba melihat terus ke dasar supaya rakyat tahu kita bukan hanya bercakap di dewan tentang prihatin kepada rakyat tetapi kita turun padang,” katanya hari ini.

Ditemui selepas program ziarah kasih sempena Program Rewang Komuniti Strata peringkat MPS di Taman Pinggiran Batu Caves di sini, Borhan berkata program berkenaan dijadual diteruskan ke daerah Hulu Langat September ini.

“Kita akan teruskan. Sebab saya lihat ada yang kita terlepas pandang di kawasan rumah pangsa daripada segi sosialnya serta pendekatan pemimpin kepada rakyat.

“Jadi inilah caranya bagi memastikan apa yang dibentangkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) seiring dengan segala inisiatif yang kita lakukan untuk rakyat,” katanya.

Penduduk bergotong-royong menyiapkan juadah sempena kenduri rakyat pada 14 Julai 2024 di padang awam Taman Pinggiran Batu Caves. Foto SHUKRI MOHAMAD/MEDIA SELANGOR

Pengarang :