Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan lintasan hormat pada sambutan peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengajar institusi latihan polis wajib lulus minimum ijazah sarjana muda

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Kesemua calon tenaga pengajar yang bakal berkhidmat di institusi latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajib memiliki kelulusan akademik sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain berkata ketetapan itu dibuat hasil kajian pengukuhan perjawatan bagi pensyarah dan tenaga pengajar institusi itu dengan menitikberatkan kelayakan akademik.

“Sebagai perintis, pengukuhan perjawatan tenaga pengajar sedang dilaksanakan di empat institusi latihan PDRM iaitu Maktab PDRM Kuala Lumpur, Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, Pulapol Kuala Lumpur dan Pulapol Bukit Sentosa.

“PDRM juga dalam usaha menaik taraf Maktab PDRM Kuala Lumpur menjadi hab penyelidikan meliputi semua aspek dalam bidang kepolisan khususnya berkaitan keselamatan siber serta pencegahan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPN bulan Julai 2024 anjuran Jabatan Pengurusan Bukit Aman di Bukit Aman di sini hari ini.

Razarudin berkata ini seiring perkembangan teknologi dan kewujudan jenayah bentuk baharu dengan modus operandi yang kian mencabar.

“Saya yakin, kolaborasi dengan para ilmuan dari dalam dan luar negara mampu menyumbang kepada dapatan akademik yang memberi manfaat kepada pasukan serta masyarakat,” katanya.

Sementara itu, kajian semula ke atas Modul Silibus Program Latihan Asas Kepolisan turut dilaksanakan sebagai penambahbaikan untuk melahirkan sumber manusia kompeten melalui program latihan kepolisan yang mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Beliau turut menyuarakan hasrat PDRM untuk mencapai sasaran pengambilan Gred Lantikan Skim Perkhidmatan PDRM iaitu seramai 4,441 orang sebelum akhir tahun ini.

“Sejak Januari hingga 1 Julai lepas, seramai 3,482 pelatih lelaki dan wanita sedang menjalani Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) bagi Inspektor Polis Gred YA13, Sarjan Polis Gred YA5 dan Konstabel Polis Gred YA1 di tujuh buah Pusat Latihan Polis di seluruh negara.

“Perkembangan itu mencatatkan status pencapaian pelantikan Gred Lantikan Skim Perkhidmatan PDRM pada tahap 78.4 peratus daripada jumlah yang disasarkan tahun ini,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :