Penggiliran raja negeri sebagai ketua bagi Persekutuan Malaysia ditetapkan menurut tatacara termaktub dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-Raja. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Penggiliran sembilan Raja Melayu, Sultan Ibrahim dipilih Agong ke-17

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Jawatan Yang di-Pertuan Agong disandang bergilir-gilir berdasarkan pemilihan dalam kalangan sembilan raja negeri-negeri Melayu sejak kemerdekaan negara pada 1957.

Penggiliran raja negeri sebagai ketua bagi Persekutuan Malaysia ditetapkan menurut tatacara termaktub dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-Raja.

Bermula Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, seramai 16 raja menyandang jawatan tertinggi negara sejak 67 tahun lalu. Ketua negara ke-17, Sultan Ibrahim dipilih mengikut tatacara itu menerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas), Oktober tahun lepas.

Mesyuarat itu dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan dihadiri semua pemerintah negeri-negeri Melayu kecuali Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melafaz sumpah jawatan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 31 Januari.

Sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai, Selangorkini menyorot tatacara pemilihan ketua negara ini yang unik berdasarkan portal Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Ciri kelayakan

– Hanya raja-raja yang boleh dipilih selepas raja itu memberi perkenan untuk dipilih

– Sekiranya seorang raja tidak dapat berangkat dalam majlis pemilihan, seorang raja lain hendaklah dilantik oleh raja itu dan layak mengundi sebagai proksi

– Lazimnya raja paling kanan dari segi pemerintahan dipilih. Peraturan ini tidak lagi dipakai selepas semua raja dari negeri-negeri dipilih Yang di-Pertuan Agong. Senarai diguna sekarang berpandukan kepada kekananan negeri yang rajanya dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong

Tidak layak dipilih

– Raja itu belum dewasa

– Raja itu memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Baginda tidak berhasrat dipilih atau

– Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa raja itu tidak sesuai menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain. Ketetapan ini memerlukan undi sekurang-kurangnya lima raja

Sebelum pemilihan

– Mendapatkan perkenan tarikh mesyuarat pemilihan

– Sekiranya kekosongan berlaku kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu

– Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan menyembah syarat kepada setiap raja bagi memohon perkenan sama ada Baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong

– Raja-raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu

Tatacara pemilihan

– Pemilihan Yang di-Pertuan Agong hanya melibatkan undi sembilan raja-raja Melayu

– Pemilihan secara undi sulit dan kertas undi digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat sama yang dimasukkan dalam peti undi

– Kertas undi dimusnahkan sama ada dibakar atau dirincih di hadapan raja-raja sebaik sahaja keputusan undian diumum

– Raja paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih mengira kertas undi bersama Penyimpan Mohor Besar Raja – raja

Proses pemilihan

– Penyimpan Mohor Besar Raja-raja membekalkan satu kertas undi setiap raja dan setiap raja diminta menandakan pendapatnya sama ada raja yang paling kanan (satu nama sahaja) sesuai atau tidak sesuai dipilih Yang di-Pertuan Agong

– Calon mesti mendapat majoriti lima undi sebelum raja yang mempengerusikan mesyuarat pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Baginda. Jika raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun raja itu gagal memperoleh undi majoriti, proses pengundian semula akan dijalankan dengan mencalonkan nama raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi

– Proses hanya selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan. Selepas itu, majlis akan mengisytiharkan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun

 


Pengarang :