Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Tahun Baharu Cina di Kompleks 3k, SS13, Subang Jaya pada 9 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKPS terima 300 permohonan dalam talian anjur jualan murah sejak Mac lalu

Oleh Azrin Muhammad

SHAH ALAM, 21 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerima 300 permohonan untuk menganjurkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) barangan asas yang dibuka secara dalam talian sejak Mac lalu.

Pengurus Komunikasi Strategik PKPS Noor Azreena Abdul Aziz berkata pihaknya sedang meneliti setiap permohonan berkenaan.

“Sejak dibuka Mac lalu hingga bulan ini kita terima 300 permohonan dan kita akan pergi ke lokasi untuk melihat kesesuaian.

“Kita juga hubungi PKM (pusat khidmat masyarakat) DUN (Dewan Undangan Negeri) kerana untuk individu mereka mungkin tidak dapat sediakan kemudahan seperti khemah, meja, kipas dan lain-lain,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Noor Azreena memaklumkan, permohonan yang diterima itu perlu mengikut syarat ditetapkan namun beliau menegaskan PKPS sentiasa menjadi pemudah cara terutama melibatkan hal pemilihan lokasi sebelum meluluskan permohonan.

“Kebanyakan kalau kita lihat pemohon itu semula, mereka dari luar, pinggir dan bandar. Bila kita lihat balik, nilai kawasan berkenaan memang ramai B40. Itu kita punya sasaran untuk membantu masyarakat atau golongan B40 ini,” katanya.

Beliau berkata ada ketika PKPS menghadapi masalah pemilihan lokasi seperti terletak jauh dari jalan atau laluan lori masuk dan lokasi tepi jalan perlu utamakan aspek keselamatan.

JER yang diperkenalkan sejak September 2022 menjana lebih RM40 juta nilai jualan sehingga Jun tahun ini melibatkan 3,455 lokasi seluruh Selangor.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

 


Pengarang :