Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Dewan Acara Cyber Cyberjaya, Sepang pada 21 JULAI 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

PM: Malaysia Madani pengisi kemerdekaan, seru kibar Jalur Gemilang

SEPANG, 21 JULAI: Prinsip Malaysia Madani yang diperkenal Putrajaya merupakan kesinambungan rakyat untuk terus menghargai nikmat kemerdekaan yang diperoleh negara sejak 67 tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prinsip itu dicipta untuk mengisi kemerdekaan yang disifatkan tidak bererti jika negara terus ditadbir pemimpin berjiwa penjajah.

“Malaysia Madani ini untuk mengisi kemerdekaan. Apa erti kemerdekaan kalau pemimpin berjiwa sama macam penjajah, guna kuasa untuk merompak kekayaan negara.

“Seluruh kemegahan Inggeris adalah dari harta kita. Mana kekayaan di Perancis, ia dirompak dari negara Asia dan Afrika, berpuluh bilion. Itulah harga kemerdekaan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Dewan Acara Cyber Cyberjaya, Sepang pada 21 JULAI 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Dewan Acara Cyber, Cyberjaya di sini, hari ini.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan barisan pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri.

Dalam pada itu, Anwar berharap setiap rakyat tanpa mengira latar belakang mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan jiwa merdeka dan sayangkan negara sepanjang bulan ini hingga September.

Menurutnya, kempen kibar Jalur Gemilang tidak hanya terpakai kepada sesuatu kaum, parti politik, atau kedudukan selain pihak swasta juga perlu turut serta mengibarkan bendera negara.

“Ketua Setiausaha Negara akan pantau setiap jabatan, kementerian. Saya juga mahu pastikan Kerajaan Negeri, pemimpin agama, masyarakat, dan swasta (kibarkan Jalur Gemilang).

“Swasta ini kadang-kadang mereka anggap hal ini remeh. Kerja mereka niaga dan catat untung. Saya mahu beritahu, jika negara tidak aman, tidak ada pelaburan baru. Jadi, tunjukkan semangat kamu,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (kiri) mengibarkan bendera bagi pelepasan konvoi pada pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Dewan Acara Cyber Cyberjaya, Selangor pada 21 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Dalam majlis sama, Anwar turut melepaskan konvoi kenderaan yang membawa Jalur Gemilang ke seluruh negara dengan konsep penyerahan bendera antara satu negeri kepada negeri lain, yang akan berlangsung di sempadan negeri.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 dan pelbagai program yang diadakan sepanjang bulan kebangsaan di laman web ww.merdeka360.my.


Pengarang :