Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu bersama Persatuan dan Pemain Sepak Takraw Negara di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 22 Julai 2024. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

PM umum imbuhan RM10,000 kepada pemain, jurulatih sepak takraw kebangsaan

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan imbuhan sebanyak RM10,000 untuk setiap pemain dan jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan susulan kejayaan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw Tahun 2024, Mei lepas.

Perkara itu diumumkan Anwar semasa mengadakan pertemuan dengan pasukan kebangsaan selepas kejayaan mereka memenangi pingat emas dan merangkul gelaran juara berganda dalam kejohanan tersebut.

“Sekalung tahniah dan penghargaan tertinggi buat seluruh anggota pasukan sepak takraw kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara serta melonjakkan imej serta standard sukan sepak takraw kebangsaan di persada dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata dalam pertemuan itu beliau turut membincangkan beberapa perkara termasuk keperluan mewujudkan stadium sepak takraw negara, status sukan sepak takraw sebagai sukan bukan teras, peluang melanjutkan pelajaran serta kerjaya dan kebajikan atlet sepak takraw.

Pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di di Stadium Titiwangsa di sini, skuad sepak takraw kebangsaan mencipta sejarah menamatkan penguasaan Thailand selepas menewaskan mereka pada perlawanan akhir acara regu dan double masing-masing dengan keputusan 2-0.

Bagaimanapun, penantian 33 tahun skuad sepak takraw negara untuk muncul juara acara regu berpasukan pula terus berpanjangan selepas tewas kepada Thailand 1-2 dalam aksi final.

– BERNAMA


Pengarang :