AGENDAJENAYAH

Polis tahan lelaki curi kereta di parkir pusat beli-belah

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan kerana dipercayai melarikan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang ditinggalkan di bahu jalan oleh penjaga valet sebuah pusat beli-belah di Jalan P Ramlee di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata dalam kejadian kira-kira 12.48 tengah hari itu, pemilik SUV berusia 31 tahun menyerahkan keretanya kepada penjaga valet di kawasan parkir sebelum kenderaan itu dialihkan sementara di tepi jalan laluan keluar utama.

“Lebih kurang 10 minit kemudian semasa hendak mengalihkan semula kereta berkenaan didapati SUV itu sudah tiada dipercayai dicuri namun kunci masih ada dengan penjaga valet berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata pemilik kereta yang bekerja sebagai jurureka hiasan dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan ketika keluar dari pusat beli-belah terbabit pada 1.20 tengah hari dan terus membuat laporan polis.

“Mangsa kemudian menghubungi Pusat Kawalan Dang Wangi untuk melaporkan kehilangan keretanya dan pihak polis membuat hebahan kepada semua elemen penugasan di lapangan bagi mengesan kenderaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pada 2.35 petang hari yang sama, SUV berkenaan ditemukan di USJ 1 Avenue, Subang Jaya, Selangor oleh anggota kenderaan peronda polis (MPV) dan suspek yang memandu kereta itu enggan bekerja sama serta cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.

“Permohonan reman ke atas suspek berusia 58 tahun dan mempunyai dua rekod kesalahan dadah itu akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial yang dimuat naik seorang pengguna mendakwa keretanya hilang selepas diserahkan kepada valet di sebuah di pusat beli-belah dan SUV itu dikesan sekitar Subang Jaya berdasarkan maklumat peranti sistem kedudukan sejagat (GPS) pada kenderaan.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :