AGENDANASIONAL

Polis tawar diskaun saman hingga 50 peratus di pelancaran bulan kebangsaan

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Orang ramai berpeluang menikmati tawaran pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 50 peratus pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, di Cyber Event Hall Cyberjaya, Selangor, Ahad ini.

Jabatan Penerangan menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pembayaran hanya boleh dibuat di tapak program bermula 9 pagi hingga 4.30 petang, tertakluk kepada terma dan syarat.

Selain itu, Jualan Kombo Agro Madani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jualan Ehsan Rahmah Madani akan turut diadakan, menawarkan pelbagai produk pada harga murah antaranya ayam, ikan, daging, telur, minyak masak botol 5 kilogram (kg) dan beras 5 kg.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berkonsepkan karnival rakyat, dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan merupakan wadah untuk terus menyuburkan semangat kenegaraan dan patriotisme.

Majlis pelancaran itu adalah bagi memulakan kiraan detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya dan sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 September ini di Sabah.

Maklumat lanjut mengenai Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 dan pelbagai program yang diadakan boleh didapati di laman sesawang www.merdeka360.my

– BERNAMA


Pengarang :