AGENDAJENAYAH

Polis trafik parah dirempuh pemandu mabuk ketika kawal lalu lintas

JOHOR BAHRU, 14 JULAI: Anggota polis trafik parah akibat dirempuh pemandu mabuk ketika mengawal lalu lintas di Kilometer 3.6 Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata dalam kejadian 7.05 pagi itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an patah tulang pinggul sebelah kiri dan luka pada bahagian muka, dagu serta tangan sebelah kanan.

Beliau berkata kemalangan tersebut dipercayai berlaku ketika mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS sedang membuat kawalan lalu lintas susulan kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbabas di lorong kanan tempat kejadian.

“Bagaimanapun, ketika proses penundaan dilakukan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna perak dari arah belakang telah mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri sebelum melanggar anggota berkenaan yang sedang berdiri di sebelah kiri trak tunda.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas cermin hadapan kereta Proton Wira tersebut dan kemudian melambung sebelum terjatuh di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata pemandu kereta iaitu lelaki tempatan berusia 30-an hanya mengalami luka pada tangan kiri.

“Hasil ujian pernafasan ke atas pemandu tersebut mendapati dia positif alkohol, manakala ujian saringan air kencing pula negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) (B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian itu agar tampil ke IPD JBS bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek di talian 014-6977122.

– BERNAMA


Pengarang :