Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi pada 24 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Program di luar pusat NADI manfaatkan lebih ramai rakyat

IPOH, 8 JULAI: Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan melaksanakan program di luar pusat itu bagi memanfaatkan lebih ramai masyarakat setempat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata inisiatif tersebut akan dilaksana melalui Komuniti MADANI di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kebiasaannya NADI akan memberikan manfaat kepada masyarakat di sekitar tiga atau empat kilometer dari pusat fizikal.

“Kita akan bekerjasama dengan Japen (Jabatan Penerangan) dan Komuniti MADANI, setiap DUN ada tiga Komuniti MADANI, jadi kita ambil modul-modul dalam NADI dan bawa keluar kepada masyarakat supaya lebih ramai dapat manfaat,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian NADI di Kg. Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, di sini hari ini.

Perasmian tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fahmi berkata antara modul terlibat untuk program di luar pusat itu ialah kecerdasan buatan, digital, maklumat mengenai penipuan dalam talian dan kesedaran mengenai buli siber.

Beliau berkata pengurus NADI juga telah dimohon meningkatkan kefahaman dan seterusnya berkongsi maklumat mengenai isu-isu terkini berkenaan teknologi terutamanya mengenai jenayah scam dan buli siber.

Menurutnya setakat 30 Jun, sebanyak 75 NADI telah beroperasi di Perak dengan empat daripadanya ialah NADI baharu yang dibina di bawah inisiatif 1 DUN 1 NADI.

Terdahulu, Anwar dan Fahmi turut memeriahkan program mengacau bubur asyura di perkarangan Masjid As Saadah, Manjoi terletak sebelahan pusat NADI berkenaan dan meluangkan kira-kira 15 minit beramah mesra bersama penduduk setempat yang hadir ke program berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :