Pengasuh Adibah Nor Mokles, 32, melakukan aktiviti membaca bersama kanak-kanak ketika pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program latihan penjagaan anak buka peluang suri rumah jana pendapatan

SHAH ALAM, 22 JULAI: Program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IMPAK) dikendalikan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) membantu suri rumah menjana pendapatan sebagai pengasuh.

Pengurus Besarnya Gan Pei Ni berkata IMPAK turut menjadi ruang buat mereka membina kerjaya selain mengasah bakat melalui kursus berkaitan perkembangan awal kanak-kanak.

“Bidang pengasuhan sudah menjadi sektor pekerjaan dalam kalangan suri rumah dan kaum wanita, boleh jana sumber pendapatan untuk wanita yang berada di rumah.

“Yawas menggunakan sistem guna inovasi dan teknologi untuk memberi kemudahan ibu bapa atau penjaga mendapatkan perkhidmatan pengasuh yang menjalani kursus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam rancangan HAI SELANGOR di saluran SelangorTV hari ini.

Menurutnya, Yawas turut menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan Universiti Selangor (Unisel) bagi melaksana program latihan itu.

“Kerjasama turut melibatkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berkongsi tentang akta, undang-undang berkaitan penjagaan kanak-kanak.

“Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Malaysia untuk kita beri kita pendedahan tentang nutrisi makanan dan penjagaan kesihatan bayi,” ujarnya.

Jelas belai, setiap 200 peserta yang terpilih menjalani Kursus Intensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK) secara percuma turut berpeluang menerima geran bernilai RM2,000 setiap seorang.


Pengarang :