Pengasas BNG Homeware Hub Nooraihan Che Li (kiri) di gerai pamerannya pada Majlis Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahawan Wanita Muda (USAHAWANITA) di Hotel Mardhiyyah and Suite Shah Alam pada 19 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENSISELANGOR

Program pendigitalan perniagaan WBS bantu usahawan pasar produk lebih luas

OLEH AIDA MOHAMED NYAN

SHAH ALAM, 20 JULAI: Program pendigitalan perniagaan yang dianjur Wanita Berdaya Selangor (WBS) memberi peluang kepada pengasas BNG Homeware Hub memasarkan produk dengan lebih meluas.

Malah, Nooraihan Che Li,44, berkata perniagaan barangan keperluan rumah yang diusahakan menerusi platform e-dagang juga membantu rakan-rakan usahawan lain membuat jualan.

“Program pendigitalan anjuran WBS amat membantu, saya bersyukur sangat Allah bagi peluang saya untuk saya berbakti pada komuniti, beri impak kepada komuniti.

“Beritahu pada dunia usahawan ini, buat pendigitalan dan anda akan besarkan pasaran dan tiada limitasi asalkan anda seiring perkembangan semasa,”kata penerima Ikon Usahawanita 2024 itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahawan Wanita Muda (Usahawanita ) 2024 semalam.

Tambah Nooraihan, kekangan pergerakannya akibat masalah saraf juga tidak menghalang dia membuat jualan dengan adanya perniagaan digital.

“Walaupun sakit jualan tetap ada dengan pemasaran digital,” katanya.

Anugerah Ikon Usahawanita 2024 itu disampaikan oleh EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari kepada Nooraihan yang turut membawa pulang wang tunai RM4,000 serta trofi.

Program Insentif Digital Usahawan Wanita Muda adalah inisiatif Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan melalui WBS.

Program selama enam bulan itu merangkumi empat fasa termasuk latihan asas, latihan lanjutan, praktikal dan pertandingan dengan 302 penyertaan diterima.

Seramai 112 usahawan mengikuti program dan latihan lanjutan merangkumi pelbagai aspek termasuk penciptaan kandungan, pemasaran media sosial, reka bentuk grafik, kandungan visual dan e-dagang.


Pengarang :