Penduduk bergotong-royong menyiapkan juadah sempena kenduri rakyat pada 14 Julai 2024 di padang awam Taman Pinggiran Batu Caves. Foto SHUKRI MOHAMAD/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Program Rewang Komuniti Strata eratkan hubungan masyarakat

GOMBAK, 14 JULAI: Program Rewang Komuniti Strata anjuran Kerajaan Negeri menjadi medium pengerat hubungan di antara masyarakat setempat.

Penyelia ruang masakan, Bokhari Hassan berkata rewang menyediakan juadah untuk Kenduri Rakyat, salah satu aktiviti dalam program itu berjaya mengumpul lebih 100 penduduk.

Bokhari Hassan

Menurutnya, tiga juadah utama disediakan sempena program hari ini iaitu daging gulai kawah batang pisang, sup tulang dan ayam masak merah untuk kira-kira 3,000 tetamu.

“Program begini memang bagus. Kita ada enam JMB (berkumpul di sini) jadi semua bekerjasama, datang tolong-menolong.

“Walaupun tiada apa-apa bayaran mereka sanggup datang untuk tolong untuk menjayakan program macam ini. Memang elok dan memang patut selalu dibuat,” katanya ketika ditemui di padang awam Taman Pinggiran Batu Caves semalam.

Naim Sukaimi

Sementara itu pesara, Naim Sukaimi, 73, berkata Ziarah Kasih sempena program itu juga memberi peluang kepadanya mendapatkan pemeriksaan kesihatan seperti ujian kadar gula dalam darah dan kolestrol.

“Lebih setahun saya tidak buat pemeriksaan kesihatan. Elok diteruskan program sebegini,” kata selepas program ziarah oleh EXCO Perumahan Borhan Aman Shah di Gugusan Pangsapuri Taman Pinggiran Batu Caves di sini.

Dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini, Program Rewang Komuniti Strata peringkat Majlis Perbandaran Selayang diserikan dengan pelbagai program lain termasuk acara sukan rakyat, sukaneka kanak-kanak dan dewasa serta slot pengisian kekeluargaan.

 


Pengarang :