Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) Mobi beroperasi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Projek van penumpang perluas capaian hingga ke ceruk desa

Selangor bertuah berada di tengah-tengah kepesatan jaringan pengangkutan awam yang semakin maju. Namun, Kerajaan Negeri tidak leka, terus berusaha membina jaringan lebih dekat dengan rakyat terbawah.

Bagi mengukuhkan jaringan 50 laluan lebih 160 bas Smart Selangor yang membantu rangkaian rel, bas awam dan kereta sewaan di Lembah Klang, Kerajaan Negeri merintis projek van atau bas kecil.

Diumumkan dalam Belanjawan 2023, Mobiliti Selangor dilancarkan sebagai projek pertama di Malaysia yang berkonsep jaringan perhubungan ke segenap ceruk (first mile and last mile) kawasan penduduk padat.

Menggunakan kenderaan yang boleh dinaiki sehingga 12 penumpang, ia dapat menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor ke laluan sempit dan penduduk ramai.

Sasaran tumpuan adalah kawasan berdekatan pengangkutan awam utama seperti rel dan stesen bas bagi melengkapi perbatuan pertama dan terakhir.

Projek rintis ini cuba mengumpul data bagi menentukan, antaranya, tempat berhenti, laluan, tambang, kekerapan dan jumlah penumpang. Menggunakan kaedah bukti konsep, ia dijayakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badanbas Sdn Bhd.

Waktu pemilihan dibuat Kerajaan Negeri pada September 2023, hanya dua syarikat ini mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad). Kelulusan ini diwajibkan bagi menjamin keselamatan penumpang.

Kerajaan Negeri bersetuju melantik kedua-duanya, kata EXCO Mobiliti Ng Sze Han pada Mei, untuk memenuhi “piawaian yang ditetapkan pihak berwajib memastikan keselamatan pengguna terjamin.”

Dalam tempoh percubaan sekarang, Asia Mobility dan Badanbas menggunakan empat van bermuatan 12 penumpang di lapan zon ujian dalam kaedah bukti konsep (proof of concept atau POC) seperti dipersetujui.

Asia Mobility cuba mengumpul data di empat lokasi: Ampang, Hulu Kelang, Puchong dan UPM-Serdang. Sementara Badanbas pula beroperasi di Subang Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan dan Sungai Buloh.

Kerajaan Negeri juga menegaskan dua syarikat ini dipilih “supaya sesuatu syarikat tidak membolot proses pengujian ini dan warga Selangor dapat menilai keselesaan dan keberkesanan” perkhidmatan mereka.

Setakat Mei, kata Sze Han lagi, lebih 40,000 orang menggunakan perkhidmatan projek Mobiliti Selangor ini, juga dikenali pengangkutan berdasarkan permintaan (demand responsive transit atau DRT).

Namun, jumlah ini meningkat kepada hampir 54,000 pengguna setakat Jun. Daripada jumlah ini, zon Subang Jaya mendapat 38 peratus penumpang, diikuti UPM Serdang (23 peratus), Puchong (13 peratus) dan Petaling Jaya Utara (9 peratus).

Ujian DRT ini juga mendapati dua kawasan yang padat penduduk tetapi kurang jaringan pengangkutan awam mempunyai permintaan berbeza: penumpang di zon Sungai Buloh hanya 0.3 peratus berbanding UPM Serdang.

Untuk menjayakan percubaan ini, Kerajaan Negeri menampung sebahagian bayaran penumpang agar setiap orang hanya mengeluarkan RM2 bagi satu perjalanan.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han bersama Ketua Pegawai Eksekutif Badan Bas Coach Sdn Bhd Ibrahim Aiman Mohd Nadzmi bergambar di hadapan van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Tiada salah guna

Selain subsidi kepada pengguna, perbelanjaan RM2.1 juta bagi setiap syarikat ini juga dikeluarkan untuk pemasaran, promosi, pembangunan teknologi, pengurusan dan pemantauan projek sulung ini.

“Bayaran ini tidak disalurkan sekali gus tetapi secara berperingkat-peringkat melalui tiga fasa untuk memastikan tiada penyalahgunaan peruntukan negeri,” tegas Sze Han.

Bagi menjawab tohmahan pembangkang, beliau juga menjelaskan dua syarikat ini diberikan tempoh terhad selama sembilan bulan sahaja, antara November lalu hingga bulan ini.

“Lesen bukti konsep (POC) yang diberikan oleh Apad hanya sah sehingga 31 Ogos, bukannya untuk tempoh berpuluh-puluh tahun dan bukan diperbaharui secara automatik,” katanya pada 29 Mei.

“(Keputusan) ini bermaksud POC akan tamat sebelum lesen yang diberikan oleh Apad kepada kedua-dua syarikat ini tamat tempohnya.”

Selepas memenuhi permintaan cadangan (RFP) Kerajaan Negeri, Asia Mobility dan Badanbas menerima surat hasrat pada 15 Jun 2023 dan surat pelantikan kedua-duanya dikeluarkan pada 20 September 2023.

Namun, bukan dua syarikat ini sahaja akan terlibat untuk percubaan di zon lain. Pada Mei, Kerajaan Negeri menerima cadangan Kumpool Sdn Bhd untuk menguji bukti konsep pada masa depan.

Mengulas dakwaan wujud konflik kepentingan seperti serangan pembangkang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hujung Mei menjelaskan “tiada kaitan” antara projek negeri ini dengan bidang kuasa menteri.

“Dari segi undang-undang, jika seseorang mendapat kontrak atau manfaat daripada mana-mana entiti kerajaan, tetapi individu berkenaan tiada kaitan dengan entiti itu, maka ia bukan suatu kesalahan,” kata Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki.

Walau bagaimana tohmahan buruk, projek rintis DRT ini sebahagian permulaan program Mobiliti Selangor bagi memudahkan pengguna sampai ke jaringan stesen kereta api dan juga menghubungkan kawasan perumahan yang tidak boleh diakses bas.

Berdasarkan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor yang dimulai pada 2016, Kerajaan Negeri ingin mengurangkan kesesakan jalan dengan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada 60 peratus berbanding 40 peratus kenderaan persendirian.

Ketika pertama kali mengumumkan Mobiliti Selangor dalam belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata memang sudah tiba masanya negeri berusaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam daripada 20 peratus kepada 40 peratus pada 2035.


Pengarang :