Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Perumahan, Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas merasmikan Program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor Peringkat Majlis Perbandaran Selayang di Padang Awam, Pinggiran Batu Caves, Gombak pada 14 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Proses penilaian aset, harta benda jadi rujukan pemilik urus hartanah

GOMBAK, 15 JULAI: Proses penilaian semula aset dan harta benda yang dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika ini bakal menjadi rujukan kepada pemilik dalam mengurus hartanah masing-masing.

Menyifatkan perkara itu wajar dilakukan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses mungkin menyebabkan peningkatan cukai itu namun ia memberi nilai tambah kepada aset penduduk.

“Kalau tak buat, tak ada penilaian sah atau muktamad yang menjadi rujukan. Kalau aset tak dinilai puluhan tahun, nilaian akan tersekat pada kadar 30 tahun lepas sedangkan nilainya sudah meningkat.

“Kalau nak jual, pajak atau beli, ia tidak tepat tapi kalau buat penilaian tiap-tiap lima tahun sekali, ia tepat dan akan jadi rujukan. Mungkin ada atau tidak peningkatan itu tetapi kita ada formula sekitar 15 hingga 20 peratus sahaja (jika meningkat),” katanya semalam.

Berucap di Program Rewang Komuniti Strata, Amirudin berkata bayaran peningkatan itu akan digunakan untuk kos menyelenggaran perkhidmatan awam ditanggung PBT selain menyediakan kemudahan lengkap kepada penduduk.

“80 peratus (kewangan PBT) untuk kutip sampah jadi tak ada peruntukan untuk buat padang, dewan. Sekarang proses bantahan dan rayuan masih berjalan. Boleh bantah ikut pandangan masing-masing.

“Kita akan terangkan dan cari penyelesaian. Keputusan naik atau tidak (cukai) akan dibuat akhir tahun atau pertengahan tahun depan. Kerajaan Negeri akan lihat semua aspek dan keadaan semasa,” katanya.

Antara 20 hingga 40 tahun ini, lapan PBT tidak membuat semakan kadar cukai taksiran membabitkan tanah kosong, perumahan, kilang dan perniagaan.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.


Pengarang :